top of page

[Vol.6.2] PERMAINAN KUTU: SALAHKAH?

Permainan kutu telah lama diamalkan dalam kalangan masyarakat Malaysia terutamanya oleh golongan wanita.

Permainan ini juga merupakan amalan sebahagian masyarakat Islam terutamanya golongan wanita di Timur Tengah dan Afrika. Di timur tengah, permainan ini dipanggil sebagai “Jumu’iyyah manakala di Nigeria, ia dipanggil sebagai “adashi”.[1]

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, permainan kutu ini adalah sejenis perkumpulan perniagaan atau usaha gotong-royong bagi mengumpulkan wang tiap-tiap bulan dan menentukan giliran individu yang mendapatkannya dengan cara undian.

Secara asasnya, konsep permainan kutu ini adalah permainan yang menggunakan wang untuk menabung secara berkumpulan dan berpakat tanpa ada apa-apa pertumbuhan modal atau pulangan dividen.

Ahli-ahli kumpulan perlu membuat undian untuk menentukan giliran individu yang akan mendapatkan wang tersebut.

Setiap permainan kutu yang dijalankan akan diketuai oleh seorang ketua yang digelar sebagai “ibu kutu”.

Ibu kutu dipertanggungjawabkan untuk mengutip dan menyimpan wang daripada ahli kumpulan mengikut masa yang ditetapkan.

Kemudian, ibu kutu perlu mengagihkan wang yang terkumpul kepada ahli kumpulan mengikut giliran yang telah diperoleh melalui undian.

HUKUM WANG KUTU DALAM ISLAM

Kebanyakan ulama’ Islam mengharuskan kutu berpandukan mazhab Maliki yang membenarkannya dengan syarat-syarat tertentu.

Hal ini adalah kerana mereka menganggap konsep kutu ini tidak termasuk dalam kategori "Qard Jarra Naf'an" atau (Pinjaman yang menghasilkan manfaat), tetapi lebih kepada konsep ta'awun yakni tolong menolong, dengan syarat-syarat yang tertentu, iaitu tidak wujud unsur riba dan gharar di mana semua yang memberi dan mendapat pinjaman itu dikenali dan tidak lari daripada membayar bahagian masing-masing.

Kesimpulannya, kebanyakan ulama' mengharuskan permainan kutu ini.

Hal ini adalah kerana sebenarnya wang yang diperoleh itu hanyalah wang individu itu sendiri yang terkumpul pada masa yang akan datang. Namun, ciri keistimewaan permainan kutu ini dapat dilihat apabila tiba giliran individu tersebut di mana sebagai seorang ahli, dia bakal dapat menggunakannya secara 'in advance' disebabkan oleh sumbangan wang daripada semua ahli kumpulan yang lain.

Pembayaran 'in advance' ini daripada sudut Islam dilihat sebagai pinjaman tanpa faedah. Akan tetapi, demi memastikannya menjadi halal, perlulah dipastikan semua ahli kumpulan itu dikenali, boleh dipercayai, dan membuat aqad bertulis bagi menjaga kemaslahatan semua dan tidak terdedah kepada penipuan atau gharar.

Permainan kutu ini juga perlulah bebas daripada sebarang bentuk pinjaman dengan faedah yang dilarang oleh Shariah serta riba yang telah diharamkan kerana unsur kezaliman.

Namun begitu, di dalam permainan ini, tiada sebarang kezaliman yang berlaku kerana kedua- duanya mendapat jumlah, dan melalui tempoh masa yang sama, cuma di waktu yang berbeza sahaja.[2]

Sehubungan dengan itu, seorang penceramah bebas yang terkenal di Malaysia, Ustaz Azhar Idrus mempunyai pandangan yang berbeza terhadap konsep permainan kutu ini di mana beliau mengatakan bahawa ianya adalah haram sekiranya tidak disertai dengan aqad kerana permainan ini melibatkan konsep hutang dan dalam mazhab Syafie yang muktamad, setiap aqad mesti dilafazkan, sama ada dengan lafaz kata-kata mahupun dengan tulisan.[3]

WANG KUTU DIKIRA SEBAGAI PUSAKA

Secara asasnya, wang kutu merupakan sebahagian daripada wang sendiri cuma dalam bentuk pinjaman.

Oleh itu, ianya dikira sebagai harta pusaka dan mestilah dibahagikan kepada ahli waris yang berhak.

Jika wang kutu tersebut masih belum diterima, maka waris perlu menuntutnya daripada ahli kumpulan yang bermain kutu atau ibu kutu (ketua) yang mengelolakannya.

Persoalan yang seterusnya timbul apabila wang telah diterima sebelum si mati meninggal dunia namun pusingan bayarannya belum selesai dan belum dijelaskan untuk bulan-bulan berikutnya.

Adalah jelas bahawa ini merupakan tanggungjawab para waris untuk melunaskan hutang si mati sebelum membahagikan harta kepada para waris kerana si mati masih berhutang dengan ahli kumpulan kutu yang lain.[4]

KUTU HARAM DI SISI UNDANG-UNDANG

Undang-undang negara kita memperuntukkan dalam Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 bahawa perniagaan wang kutu adalah salah di sisi undang-undang.

Menurut Seksyen 2 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971(Akta 28),

"Kumpulan wang kutu ditafsirkan sebagai rancangan atau perkiraan yang dikenali dengan berbagai-bagai nama seperti kutu, cheetu, chit fund, hwei, tontine dan sebagainya yang menurutnya peserta-pesertanya membayar yuran berkala atau selainnya kepada suatu kumpulan wang bersama dan kumpulan wang bersama itu dijual atau dibayar kepada peserta-peserta dengan jalan lelong, tender, tawaran, undi atau selainnya dan termasuklah apa-apa rancangan atau perkiraan daripada berbagai-bagai jenis seperti kutu, cheetu, chit fund, hwei atau tontine.”

Di bawah Seksyen 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971,

“Mana-mana orang untuk menjalankan perniagaan menganjurkan kumpulan wang kutu dan mana-mana orang yang menjalankan perniagaan itu melakukan suatu kesalahan. Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.”

Suatu syarikat yang tujuannya atau salah satu daripada tujuannya adalah untuk menganjurkan wang kutu tidak boleh didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965 menurut seksyen 7 Akta yang sama.

SSM menegaskan bahawa kegiatan wang kutu yang mendatangkan hasil yang berlipat ganda berbanding sumbangan yang diberikan termasuk apa-apa pulangan tambahan selain daripada wang sumbangan asal adalah termasuk dalam kegiatan yang dilarang dan tidak terkecuali dari Akta itu.

Antara tujuan Akta ini dibentuk adalah untuk menjaga kepentingan orang-orang yang terbabit dalam skim wang kutu itu di mana sebilangan besar daripada mereka terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Selain itu, Akta ini diperkenalkan bagi memastikan syarikat-syarikat kumpulan wang kutu yang sedia menjalankan kegiatan berkenaan melalui proses penggulungan supaya penyelesai- penyelesai (liquidators) boleh mendapat kembali wang yang tertunggak dari peserta yang sudah menerima bahagian wang kutu mereka.

Pada masa yang sama, mereka membayar wang yang tertunggak kepada peserta lain yang masih belum menerima bahagian mereka supaya pembahagian yang sempurna dapat dilakukan.

Melalui laman Facebook (FB) Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police, JSJK mendedahkan terdapat beberapa kes penganjur atau 'ibu kutu' yang telah menghilangkan diri bersama dengan wang yang dibayar pelabur atau perserta.[5]

Tetapi jika ibu kutu melarikan diri, mangsa boleh membuat laporan di balai polis dan kebiasaannya kes ini akan dipindahkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk disiasat.[6]

Walau bagaimanapun, skim wang kutu tradisional tidak termasuk dalam Akta ini. Kebiasaannya, permainan kutu tradisional dianjurkan atas dasar kemasyarakatan dan kepercayaan di kalangan jiran tetangga, sahabat handai, saudara-mara atau rakan sekerja bagi tujuan pengumpulan wang mengikut keperluan masing-masing tanpa sebarang keuntungan bagi mana-mana individu.

Hal ini adalah kerana skim wang kutu tradisional hanya memberikan kembali jumlah yang disumbang mengikut giliran yang ditetapkan.[7]

KESIMPULAN

Tuntasnya, walaupun terdapat perbincangan yang luas, kebanyakan ulama mengharuskan permainan wang kutu ini.

Pandangan ini juga diberikan oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Dr. Zaharuddin Abd Rahman bahawa hukum wang kutu menurut perspektif syariah adalah harus disebabkan ia hanyalah aktiviti pinjam meminjam namun telah dibataskan oleh akta dan undang-undang Malaysia.

Namun, permainan wang kutu secara tradisional masih dibolehkan namun masyarakat haruslah sentiasa berhati-hati kerana kita seringkali mendengar akan kisah penipuan melibatkan permainan wang kutu ini dan ia bukanlah satu perkara yang asing lagi.

Kebiasaannya, masalah timbul apabila setelah tiba giliran peserta mendapat habuan, mereka akan menghilangkan diri atau gagal untuk membayar balik kepada kumpulan wang yang berkaitan serta tidak lagi mengikuti permainan sehingga tamat.

Sudah pasti ia mendatangkan kerugian sekaligus menjejaskan hak peserta-peserta lain.

 

[1] https://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1673-hukum-main-kutu

[2] https://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1673-hukum-main-kutu

[3] https://youtu.be/ZX2vi405v_0

[4] https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4003-al-kafi-1535-hukum-wang-kutu-yang-diterima- sebelum-meninggal-dunia

[5] http://www.astroawani.com/berita-malaysia/skim-wang-kutu-tradisional-tidak-termasuk-dalam-akta-ssm- 186066

[6] https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/09/474595/main-kutu-satu-kesalahan-jsjk

[7] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/09/475693/ssm-larang-pelaburan-wang-kutu

210 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page