top of page

[Vol.11.2] PENGURUSAN HARTA INTELEK DEMI MEMPERKASAPERUSAHAAN KECIL DAN SEDERHANA

Updated: Apr 19, 2021

Kesedaran mengenai pengurusan harta intelek perlu menjadi pertimbangan utama dalam urusan perniagaan seharian bagi pemilik perusahaan kecil dan sederhana di Malaysia.

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merupakan penggerak utama ekonomi di kebanyakkan negara.

Menurut statistik, PKS telah menjana 99.2% daripada jumlah pendapatan negara dan menyumbang sebanyak 40%-50% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) di negara kita.[1]

Isu seperti lanun hakcipta, pemalsuan cap dagang dan juga pelanggaran paten merupakan masalah yang semakin meruncing dan berleluasa yang dihadapi oleh komuniti ahli perniagaan termasuklah perniagaan kecil.

Terdapat produk dan jenama baru serta reka bentuk yang kreatif yang berkembang setiap hari dalam pasaran hasil daripada inovasi dan kreativiti peniaga-peniaga di Malaysia. PKS sering menjadi penggerak utama dalam perkembangan tersebut.

Namun begitu, usaha kreatif dan inovatif ini sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya dan PKS perlu menyedari bahawa jika produk atau jenama mereka dibiarkan tanpa sebarang perlindungan, hasil ciptaan yang baik mungkin akan hilang kepada pesaing yang lebih besar.

Secara umumnya, harta intelek mempunyai beberapa hak utama yang boleh dititikberatkan oleh PKS di Malaysia.

Pada saat PKS menubuhkan sebuah perniagaan dan perniagaan tersebut telah diberikan nama, pendaftaran cap dagang merupakan elemen yang penting dalam melindungi perniagaan mereka.

Begitu juga apabila PKS ini telah menghasilkan produk dan produk tersebut telah mempunyai jenama.

Cap dagang merujuk kepada keaslian barang atau perkhidmatan yang lain daripada peniaga lain.

Cap dagang juga merupakan satu identiti dan memberikan peniaga hak eksklusif terhadap produk atau perkhidmatan mereka apabila berada di pasaran.

Pendaftaran cap dagang memerlukan satu tanda yang diwakili secara grafik sama ada dalam bentuk perkataan ataupun gambar dan tanda tersebut termasuklah perkataan, logo, dan warna.

Pendaftaran cap dagang ini akan menjamin hak PKS dari segi undang-undang, serta menghalang peniaga lain daripada menggunakan jenama yang telah didaftarkan cap dagang tanpa kebenaran.

Apabila cap dagang ini telah didaftarkan, Undang-undang Harta Intelek akan memberikan perlindungan selama 10 tahun dan perlindungan cap dagang tersebut boleh diperbaharui setelah tamat tempoh 10 tahun tersebut.

Jenama produk atau nama perniagaan yang telah didaftarkan cap dagang akan dilindungi dan jika pihak yang tidak bertanggungjawab memalsukan jenama atau meniru jenama atau pernigaan mana-mana PKS, mereka boleh mengambil tindakan undang-undang serta menyaman idividu yang telah membuat pelanggaran hak ke atas cap dagang tersebut.

Seterusnya, PKS pada masa kini tidak menghadkan pernigaan mereka hanya untuk menghasilkan produk-produk yang telah wujud di pasaran.

Kebanyakkan mereka bergiat secara kreatif dan inovatif dalam menghasilkan inovasi produk baru di pasaran.

Secara umumnya, perlindungan paten akan melindungi produk baharu yang telah diinovasi ataupun produk yang sedia ada yang telah di naik taraf dan Malaysia melindungi hak paten sehingga 20 tahun.

Namun, PKS perlu mengetahui bahawa untuk mendaftar paten bagi produk baharu mestilah memenuhi kriteria-kriteria tertentu yang telah ditetapkan oleh Intellectual Property Corporation of Malaysia (MyIPO).

Tidak kurang juga pentingnya dengan pendaftaran bagi hakcipta.

Hakcipta ini melindungi pengkarya atau pencipta bahan asli termasuk penulisan, seni, muzik dan filem.

Program komputer, laman sesawang, dan jugan pengkalan data juga termasuk dibawah kategori hakcipta.

Hakcipta merangkumi hak-hak seperi hak moral dimana pencipta atau pemunya hakcipta tersebut berhak untuk memastikan bahawa hasil kerja yang dilakukan asli dan juga hak daripada segi ekonomi di mana pencipta akan dibayar jika hasil kerja mereka digunakan oleh orang lain.

Pemilik PKS perlu menyedari bahawa terdapat pelbagai manfaat serta keuntungan yang bakal diperolehi jika harta intelek perniagaan mereka dilindungi.

Antara kebaikannya adalah jika produk yang diperkenalkan di pasaran mempunyai jenama yang baru dan unik, pelanggan akan lebih mudah mengenali produk tersebut dan produk itu juga akan berada di bawah perlindungan apabila telah didaftarkan.

Apabila harta intelek telah dilindungi dari segi undang-undang dan kemudian mendapat permintaan yang tinggi terhadap produk yang telah didaftarkan, harta intelek tersebut akan menjadi aset yang sangat beharga bagi perniagaan tersebut.

Harta Intelek juga akan menjana pendapatan PKS melalui perlesenan, penjualan serta pemasaran produk yang telah didaftarkan Sebagai contoh, produksi filem tempatan iaitu Les Copaque merupakan sebuah syarikat penerbitan yang terkenal dengan siri animasi Upin dan Ipin telah membuktikan bahawa perlindungan harta intelek yang dilaksanakan oleh syarikat mereka telah membawa kejayaan yang besar kepada perniagaan mereka.

Menurut Pengarah Urusan Les Copaque iaitu Tuan Hj Burhanuddin Md Razi, mereka telah menjana pendapatan dan keuntungan menggunakan populariti Upin dan Ipin.

Sebanyak 30% daripada hasil pendapatan merupakan daripada filem dan siri Upin dan Ipin.

Namun 70% hasil keuntungan mereka diperolehi daripada perlesenan, royalti yang dibayar serta penjualan barang-barangan Upin dan Ipin.

Mereka telah meluaskan perniagaan mereka melalui perlesenan siri animasi tersebut sehingga ke Indonesia dan juga Disney Channel Asia.

Selain itu, barang-barangan berjenama Upin dan Ipin seperti rantai kunci, T-shirt serta cawan yang telah dilindungi di bawah cap dagang juga merupakan pendapatan bagi perniagaan mereka.

Berdasarkan contoh ini, jelaslah bahawa jika mana-mana perniagaan kecil dan sederhana menitikberatkkan pengurusan harta intelek mereka, peniagaan mereka akan menjadi lebih berkembang dan tidak hanya tertumpu kepada satu sudut perniagaan sahaja.[2]

Malaysia sering menghadapi masalah yang berkaitan dengan hakcipta, perlindungan, pengurusan dan eksploitasi harta intelek apabila semakin banyak pasaran dan perindustrian baru yang muncul pada masa kini.

Perkara ini menyebabkan Malaysia mendapat persepsi di mana inovasi di negara kita masih di tahap rendah dan Malaysia tidak menghasilkan banyak harta intelek berbanding negara luar.[3]

PKS perlu menyedari bahawa harta intelek yang bernilai mestilah dilindungi daripada pelanggaran jika tidak, nilainya akan lemah dan berkurang.

Oleh itu, PKS perlu menyedari bahawa pengurusan harta intelek menawarkan faedah jangka panjang dan mengelakkan perniagaaan mereka daripada ditindas oleh perniagaan yang lebih besar.

 

[1] SME Masterplan, (2012-2020) “Catalysing Growth and Income”.

[2] Pakdi, H.Aqil, A. Mat Rawi “Jutawan Animasi, Hj Burhanuddin, Pengarah Urusan Les Copaque”. Majalah Niaga

[3] Hamzah, Zaid,.(2006) Intellectual Property Law and Strategy, Thomson, Sweet & Maxwell Asia, Singapore


 

Note: This article does not constitute legal advice to any specific case. The facts and circumstances of each case will differ and, therefore, will require specific legal advice. Feel free to contact us for complimentary legal consultation.

Recent Posts

See All
bottom of page