top of page

ANALISA DNA DALAM MENAFIKAN NASAB (KETURUNAN)


Baru-baru ini, telah viral mengenai isu kesahtarafan anak dalam drama Suamiku Lelaki Pendosa kerana dikatakan si ibu pernah terlanjur dengan majikan di tempat kerja. Dalam drama tersebut, telah ditunjukkan bahawa sifat fizikal anak iaitu Cahaya Malaika tidak sama dengan bapanya dan analisa DNA jelas membuktikan bahawa anak tersebut bukanlah milik si bapa.


Daripada sudut Hukum Syarak, anak yang lahir dalam tempoh perkahwinan iaitu lebih daripada 6 bulan selepas berkahwin adalah dianggap anak yang sah taraf dan dinasabkan kepada bapa dalam perkahwinan tersebut berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang telah bersabda:


Ertinya: “Anak itu dinasabkan kepada lelaki yang mempunyai al-firash (perkahwinan) manakala lelaki yang berzina ditegah dari penasaban”. (Riwayat Muslim)


Walaubagaimanapun, terdapat kesalahfahaman melalui drama tersebut dimana kita perlu ketahui bahawa walaupun seseorang anak itu lahir hasil daripada hubungan haram dengan orang lain, tiada sesiapa pun, dengan sewenang-wenangnya, boleh meragukan nasab anak itu kepada bapanya. Bahkan, Hukum Syarak jelas menetapkan bahawa analisa DNA tidak boleh digunakan untuk menafikan nasab dan penafian nasab mesti dan hanya boleh dibuat melalui Li’an sahaja.


Khatib Al-Sharbiniy di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj mendefinisikan Li’an sebagai:

“Kalimat tertentu yang dibuat sebagai dalil untuk memaksa kepada qazaf kerana tercemar rumahnya (firash) iaitu isterinya. (Juga bertujuan untuk) membuat tuduhan terhadap orang yang telah berbuat dosa atau untuk menafikan anak.1


Hal ini adalah berdasarkan surah an-Nur ayat 6-10 di mana Allah S.W.T telah menurunkan ayat ahkam Li’an yang diturunkan sempena kes Hilal bin Umaiyah. Walaubagaimanapun, hukum Li’an ini telah diperluas merangkumi tuduhan menafikan nasab daripada bapa atau datuk. Imam Al-Syarbini dalam kitabnya Mughnil Muhtaj juga menyatakan bahawa seorang suami berhak menqazaf isterinya atau menafikan anaknya dengan berli’an.2


Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan 2012 telah memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan di mana:

“Islam sangat menitikberatkan persoalan nasab dan apabila telah ada dalil yang mengisbatkan nasab, maka penafiannya tidak boleh diterima melainkan dengan kaedah Li’an kerana Li’an telah sabit melalui al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijma’ dan merupakan suatu amalan ta’abudiah.”


Keputusan ini juga seiring dengan keputusan Majma’ Fiqh al-Islami Januari 2002 bahawa nas-nas agama dan kaedah-kaedah syarak mesti didahulukan berbanding DNA.3 Tambahan pula, Suruhanjaya Fatwa (Amanat al-Fatwa) 2005 menyatakan bahawa hubungan kebapaan adalah berdasarkan peraturan-peraturan berasaskan syarak (min jihat al-shar'), maka ianya tidak dapat dibuktikan dengan analisis DNA.


Namun, terdapat juga pendapat lain daripada golongan ulama kontemporari seperti Abdullah bin Muhammad Abdullah,4 Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan Mufti Tunisia Syeikh Muhammad al-Mukhtar as-Salami yang berpendapat bahawa sekiranya keputusan ujian membuktikan bahawa dia bukan bapa biologi, maka Li’an tidak akan lagi diperlukan dan boleh digantikan dengan analisa DNA. Malah Imam Al-Mawardi di dalam kitabnya al-Hawiy al-Fiqhiyyah fi Mazhab as-Syafie menyatakan bahawa jika diketahui anak itu bukanlah daripada suami, maka anak itu adalah dinafikan tanpa perlunya Li’an. Mereka berhujah bahawa kaedah pembuktian dalam undang-undang Islam bukanlah satu ritual yang terhad kepada kaedah pembuktian tradisional semata-mata tetapi boleh diperluaskan dengan cara-cara lain seperti bukti saintifik ujian DNA yang setaraf kedudukannya dengan al-qiyafah (physiognomy).5


Walaubagaimanapun, jika kita menelusuri sistem perundangan di Malaysia, jelas menunjukkan bahawa Mahkamah Syariah masih lagi teguh menggunapakai kepada konsep asal tradisional dalam penafian nasab iaitu melalui Li’an semata-mata.

Seksyen 111 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 memperuntukkan bahawa anak adalah disifatkan kepada bapa dari perkahwinan sah, tetapi boleh dinafikan dengan cara Li’an atau kutukan di hadapan Mahkamah.


Merujuk kepada kes Zainul Abidin bin Mat Akhir lwn Ahmad Nazreen Azrul bin Zainul Abidin & Seorang lagi [2014]JH 40 BHG 2 hlm 248, Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa hanya ada satu kaedah sahaja yang boleh digunakan untuk penafian nasab iaitu dengan kaedah Li’an dan cara lain termasuklah DNA tidak diiktiraf.


Keputusan mengenai keutamaan Li’an dan penolakan ujian DNA oleh Mahkamah dalam kes penafian nasab juga adalah sama dan terbukti di dalam kes Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Sembilan, Eddyham bin Zainuddin lwn Rahimah bt Muhammad [1994] JH 9 BHG 2 hlm 192-194 dan kes Mohammad Ismail bin Hj Abu Bakar v Hajah Rosita @ Nurul Asyiqin bt Hj Lakat [2009] 3 ShLR 84, di mana Mahkamah menerima penafian nasab anak bernama Mohd Dzakwan setelah Plantiff meneruskan tuntutannya dengan berli’an. Bukti hasil analisa DNA hanyalah sebagai penyokong dalam menguatkan dakwaan sahaja.


Kesimpulannya, secanggih mana pun teknologi saintifik, analisa DNA tidak boleh digunakan dalam menafikan nasab seseorang anak kerana penafian anak dalam Hukum Syarak hanya boleh diterima melalui Li’an semata-mata di hadapan Mahkamah. Analisa DNA hanyalah sebagai penguat atau qarinah bagi menyokong tuntutan Li’an seorang suami terhadap isterinya dalam menafikan nasab anak. Kesan sumpah Li’an adalah lebih berat daripada perceraian talaq tiga di mana bukan sahaja nasab anak akan ternafi, bahkan pasangan akan menjadi haram selama-lamanya untuk berkahwin semula. Hal ini demikian kerana Islam adalah tegas dalam isu penafian nasab demi menjaga kemaslahatan kanak-kanak dari segi nasab, maruah dan keturunannya serta untuk menutup keaiban anak seboleh-bolehnya.


994 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page