top of page

ARTICLE: PEMBATALAN PERKAHWINAN BAGI ORANG BUKAN ISLAM



Pembatalan perkahwinan berlaku apabila satu proses untuk pempetisyen bagi mendapatkan satu deklarasi bahawa perkahwinan itu tidak sah atau wujud ab initio. Kesan pembatalan perkahwinan ini adalah sama seperti pembubaran perkahwinan iaitu melalui perceraian, namun teori dan definisi kedua-dua terma ini amatlah berbeza.

Hal ini kerana penceraian adalah satu bentuk pembubaran daripada satu perkahwinan yang sah manakala bagi pembatalan perkahwinan adalah seolah-olah perkahwinan tersebut tidak pernah wujud secara sah di sisi undang-undang. Selain itu, permohonan pembatalan perkahwinan tidak mempunyai syarat seperti penceraian iaitu syarat tempoh perkahwinan pasangan mestilah telah mencapai genap dua tahun.

SYARAT PERMOHONAN

  1. Perkahwinan mestilah didaftarkan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan Dan Perceraian) 1976 [Akta 164]

  2. Perkahwinan mestilah monogami

  3. Pihak-pihak terlibat berdomisil di Malaysia ketika prosiding

JENIS ALASAN PEMBATALAN PERKAHWINAN

  1. Tidak sah (void)

  2. Boleh batal (voidable)

Alasan Tidak Sah

Bermaksud perkahwinan itu seolah-olah tidak pernah wujud sama sekali justeru bagi kes sebegini mana-mana pihak boleh membuat permohonan untuk membatalkan perkahwinan mereka dan apabila Mahkamah memutuskan bahawa perkahwinan itu tidak sah, maka kesannya adalah retrospektif. Antara alasan-alasan bagi perkahwinan tidak sah (void) yang diperuntukkan di bawah Seksyen 69 Akta 164 adalah:

  • Perkahwinan bigami atau poligami

  • Perkahwinan bawah umur 18 tahun tanpa kebenaran khas daripada Ketua Menteri

  • Perkahwinan pasangan yang mempunyai talian persaudaraan

  • Perkahwinan sama jantina


Alasan Boleh Batal

Bermaksud perkahwinan itu wujud sehinggalah terdapat permohonan daripada salah satu pihak untuk membatalkan perkahwinan tersebut atas alasan-alasan tertentu. Namun, pembatalan perkahwinan itu tidaklah berjalan secara retrospektif dan hanya berkuatkuasa pada hari dan tarikh perintah Mahkamah.

Antara alasan-alasan bagi perkahwinan yang boleh dibatalkan (voidable) yang diperuntukkan di bawah Seksyen 70 Akta 164 adalah:

  • Persetubuhan yang belum dilakukan dalam perkahwinan kerana ketidakupayaan salah satu pihak

  • Persetubuhan belum dilakukan dalam perkahwinan tanpa alasan munasabah diberikan oleh pasangan

  • Perkahwinan yang berlaku akibat paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal atau tidak waras

  • Pasangan pada masa perkahwinan menghidapi penyakit kelamin

  • Responden menghamilkan anak yang bukan milik pasangan dalam perkahwinan

Walaubagaimanapun, Mahkamah berhak menolak permohonan sekiranya terbukti bahawa pemohon mempunyai pengetahuan tentang perkara-perkara tersebut namun masih bersetuju dan rela meneruskan dengan ikatan perkahwinan.


KESIMPULAN

Sekiranya mana-mana pihak yang ingin membubarkan perkahwinan, ketahuilah bahawa perceraian bukanlah hanya satu jalan yang ada. Sekiranya situasi anda terjatuh di bawah mana-mana alasan di atas, maka permohonan pembatalan perkahwinan merupakan tindakan terbaik yang boleh diambil dengan nasihat peguam anda.

124 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page