Secara asasnya, khuluk dari segi bahasa bermaksud mencabut atau menanggalkan. Dari segi istilah pula, ia bermaksud penceraian antara suami isteri dengan lafaz bersama bayaran tertentu. Khuluk ini adalah satu penceraian di mana terdapat persetujuan daripada isteri untuk memberikan sesuatu jumlah harta untuk menebus dirinya daripada perkahwinan itu.
Khuluk vs Fasakh
Fasakh boleh difailkan oleh suami dan isteri. Berdasarkan Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, terdapat 12 alasan yang membenarkan suami atau isteri untuk menuntut fasakh. Manakala, khuluk dalam Seksyen 49(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, menggariskan apabila penceraian yang mempunyai persetujuan kedua dua pihak tetapi suami tidak mahu menceraikan isterinya dengan rela hati, terdapat pampasan untuk suami supaya dapat si isteri dapat menebus dirinya daripada perkahwinan itu.
Tiada pampasan dalam fasakh, namun bagi khuluk, isteri perlu membayar mahar misil. Namun, apabila terdapat perbalahan mengenai jumlah tebusan, mahkamah akan membuat taksiran berdasarkan faktor kewangan suami dan isteri supaya jumlah pampasan menjadi adil mengikut syarak dan kemampuan.
Mut’ah
Mut’ah adalah suatu bentuk bayaran sebagai penghargaan kepada bekas isteri yang telah berjasa kepada suami dan anak-anak sepanjang tempoh perkahwinan. Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menafsirkan mut’ah sebagai bayaran saguhati yang diberikan dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan.
Namun, adakah mut’ah layak diberi kepada isteri yang bercerai disebabkan oleh fasakh dan khuluk? Bagi fasakh, sekiranya penceraian dalam tuntutan itu adalah disebabkan oleh isteri atau aib di pihak suami, isteri yang diceraikan tidak berhak mendapat bayaran fasakh. Hal ini serupa seperti khuluk di mana penceraian itu akan menyebabkan gugurnya hak dan kelayakan untuk menuntut bayaran fasakh daripada bekas suami.
Pernikahan itu akan berakhir sepenuhnya (talak ba'in sughra) jika perceraian yang berlaku adalah melalui khuluk atau tebus talak. Ianya menurunkan jumlah talak, maka isteri yang telah bercerai dengan suami melalui khuluk akan dianggap sebagai orang asing atau ajnabi kepada suami itu. Oleh itu, hanya akad dan mahar baru sahaja boleh dilakukan oleh bekas pasangan untuk berdamai semula. Perkara ini berbeza dengan tuntutan fasakh kerana fasakh tidak akan mengurangkan bilangan talak yang dimiliki suami.
Wanita yang diceraikan secara khuluk oleh suaminya hendaklah menjalani tempoh iddah selama satu kali haid. Oleh yang demikian, suami tidak mempunyai hak untuk merujuk bekas isterinya dalam tempoh iddah kecuali dengan akad yang baru. Begitu juga dengan fasakh, suami tidak boleh merujuk semula bekas isteri, namun boleh berdamai semula dengan syarat melalui pernikahan dengan akad yang baru. Tambahan pula, tiada nafkah iddah bagi khuluk tetapi terdapat nafkah iddah dalam fasakh seperti tempat tinggal.
Rukun Khuluk
Rukun khuluk melibatkan suami yang telah aqil baligh dan isteri yang berakal dan matang. Khuluk mestilah dilaksanakan dengan kerelaan dan persetujuan suami dan isteri. Penceraian secara khuluk mestilah mempunyai iwadh atau wang tebusan berbentuk harta yang diberikan boleh isteri bagi melepaskan dirinya daripada perkahwinan. Harta yang diambil oleh suami sebagai tebusan diwajarkan untuk tidak melebihi mas kahwin yang diberikan kepada suami. Para fuqaha tidak menentukan kadar dan jenis bayaran sebagai balasan perceraian dalam tebus talak. Hal ini bergantung kepada perbincangan dan persetujuan pihak-pihak yang terlibat. Pembayaran juga boleh dilakukan sama ada dengan wang ringgit, harta benda seperti tanah atau apa-apa sahaja yang bernilai. Sekiranya jumlah bayaran tebus talak tidak dipersetujui oleh pihak-pihak yang berkenaan, maka Mahkamah akan mentaksirkan jumlah itu mengikut Hukum Syarak dengan memberi pertimbangan kepada taraf dan sumber kewangan mereka. Akhir sekali, sighah ataupu ucapan khuluk adalah mandatori untuk menjatuhkan cerai tersebut.
Kesimpulan
Jelaslah bahawa khuluk merupakan satu hak isteri dalam perkahwinan dan merupakan satu penghormatan untuk bertindak mengikut undang-undang syarak dan berpisah dengan suami dengan cara yang baik. Isteri juga dibenarkan menuntut talak secara khuluk dalam keadaan darurat seperti suami yang telah menyimpang daripada perintah Allah dan isteri tidak dapat lagi menunaikan kewajipannya dengan baik kepada suaminya. Hal ini demikian bagi memberi jalan serta solusi kepada pihak isteri apabila tidak lagi mampu untuk meneruskan kehidupan berumahtangga jika suami enggan menceraikannya.
"Click Me" for the Full Version
Comentarios