top of page

[Vol.4S.3] PROSEDUR PENGAMBILAN ANAK ANGKAT DI MALAYSIA

Updated: Apr 19, 2021

Bagi setengah individu yang kurang bernasib baik dan sukar mendapatkan cahaya mata, pilihan untuk mengambil anak angkat mungkin pernah terlintas di fikiran mereka apatah lagi niat untuk mengambil anak yatim sebagai anak angkat.

Sekurang-kurangnya anak yang kurang bernasib baik ini boleh dibela dan diberi kasih sayang dengan sepenuhnya.

Tetapi sudah pasti, jika anda ingin mengambil anak angkat, ianya perlulah dilakukan dengan langkah atau pross yang betul dan mengikut undang-undang supaya kelak status jagaan anak akan menjadi lebih telus.

Oleh itu, bagaimanakah proses pengambilan anak angkat di Malaysia?

Syarat-syarat Kelayakan Pengambilan Anak Angkat

Di bawah Akta Pendaftaran Anak Angkat 1952, semua pemohon dan kanak-kanak (anak angkat) harus memenuhi beberapa syarat kelayakan, seperti:

Pemohon

  • Salah seorang ibu bapa angkat (suami/isteri) atau ibu/bapa angkat (tunggal) bertaraf Warganegara atau Penduduk Tetap;

  • Ibu bapa angkat atau ibu/bapa angkat (tunggal) berumur 25 tahun ke atas dan sekurang-kurangnya 18 tahun lebih tua daripada kanak-kanak;

  • Pasangan suami isteri memiliki dokumen perkahwinan yang sah;

  • Mendapat keizinan pengangkatan daripada ibu dan bapa kandung atau ibu tunggal (surat akuan berkanun);

  • Sekiranya tiada keizinan ibu bapa kandung, pengangkatan masih boleh dilaksanakan melalui perintah mahkamah atau laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat;

  • Permohonan perlu dikemukakan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam daerah ibu dan bapa angkat bermastautin.

Kanak-kanak

  • Belum pernah berkahwin;

  • Berumur di bawah 18 tahun dan bermastautin di Semenanjung Malaysia.

  • Telah dalam jagaan dan dipelihara pasangan suami isteri secara bersama, sebagai anaknya sendiri bagi tempoh tidak kurang dari dua tahun yang berterusan sebelum pendaftaran pengangkatan dibuat.

  • Kanak-kanak bertaraf warganegara atau bukan warganegara.

  • Kanak-kanak memiliki dokumen pengenalan diri (Sijil Kelahiran/ Kad Pengenalan/ Passport/ Permit Masuk bagi warganegara asing/ dan visa perlu cukup tempoh dua tahun).

  • Memiliki Sijil Kelahiran (jika tiada, Permohonan Daftar Lewat Kelahiran harus dibuat) Permohonan Pengambilan Anak Angkat Di Malaysia

Terdapat dua (2) cara untuk mengambil anak angkat di Malaysia:-

  1. Mendapat anak terus daripada pemberian ibu bapa kandung

  2. Melalui permohonan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Jika ibu bapa angkat ingin memohon pengambilan anak angkat melalui permohonan di JKM, ibu bapa angkat tersebut boleh membuat permohonan melalui surat, faks, telefon, email atau hadir sendiri ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di tempat ibu bapa angkat tersebut bermastautin. Akan tetapi, ibu bapa angkat tetap perlu melalui proses pengambilan dari perintah mahkamah.

Namun, jika ibu bapa angkat menerima anak terus daripada pemberian ibu bapa kandung, ibu bapa angkat harus melakukan beberapa prosedur bagi memastikan status anak angkat tersebut sah di sisi undang-undang kelak.

Terdapat dua cara permohonan untuk mengesahkan pengambilan anak tersebut, iaitu:

  1. Permohonan di mahkamah sesyen atau mahkamah tinggi dalam masa tiga (3) bulan selepas menerima kanak-kanak untuk Notis Pengangkatan; atau

  2. Permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara menerusi Akta Pendaftaran Anak Angkat 1952 (Akta 253).

Jika ibu bapa angkat memilih pilihan kedua, mereka perlu:

  1. Mengisi surat akuan berkanun

  2. Mendaftarkan pengambilan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memohon Sijil Pengangkatan (selepas 2 tahun)

  3. Melalui prosedur pengambilan Sijil Pengangkatan

Prosedur Pengambilan Anak Angkat Dari Ibubapa Kandung

Jika ibu bapa angkat menerima kanak-kanak dari ibu bapa kandungnya, ibu bapa angkat perlu melakukan proses ini bagi mengesahkan pengambilan dengan cara permohonan

Notis Pengangkatan dibuat di mahkamah sesyen atau mahkamah tinggi.

Namun, jika ibu bapa angkat memilih untuk memohon permohonan daripada Jabatan Pendaftaran Negara, prosesnya adalah seperti berikut:

A) Surat Akuan Berkanun

Surat Akuan Berkanun (Surat Keizinan Pengangkatan) yangdikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara hendaklah diisi oleh ibu dan bapa kandung kanak kanak.

Di dalam surat tersebut dinyatakan bahawa mereka iaitu bapa dan ibu kandung kanak kanak telah bersetuju untuk menyerahkan kanak kanak bernama XXX dengan nombor sijil kelahiran XXX kepada ibu dan bapa angkat bernama XXX dan bernombor kad pengenalan XXX.

Ibu dan bapa kandung mestilah faham akan kesan surat keizinan ini dan akan memindahkan hak penjagaan kepada ibu bapa angkat di mana ibu bapa kandung tidak akan menuntut balik kanak-kanak tersebut.

Tarikh penyerahan kanak-kanak tersebut juga akan ditulis pada Surat Keizinan Pengangkatan.

Ibu bapa kandung hendaklah menandatangani surat tersebut secara bersumpah di hadapan Majistret atau Pesuruhjaya Sumpah.

Ada sesetengah negeri yang mengkehendaki Majistret sahaja yang boleh menandatangani surat ini.

Surat Keizinan Pengangkatan ini hendaklah disetem menggunakan setem hasil.

Surat ini juga hendaklah disimpan oleh ibu bapa angkat selama 2 tahun dan boleh digunakan bagi urusan rasmi. Selepas dua (2) tahun, ibu bapa angkat perlu membuat permohonan Sijil Pengangkatan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

B) Permohonan Sijil Pengangkatan

Pihak JPN akan membuka satu fail bagi permohonan ibu bapa angkat dan JPN akan menetapkan tarikh untuk ibu bapa angkat datang ditemuduga di pejabat.

Kehadiran kanak kanak adalah wajib kerana pegawai JPN akan bertanyakan pelbagai soalan terutama selama tempoh dua tahun kanak-kanak tinggal bersama ibu bapa angkat.

Tujuannya ialah untuk memastikan kebajikan kanak-kanak ini terjaga. JPN juga akan menghantar surat makluman kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenai permohonan ibu bapa angkat.

JKM juga akan memanggil ibu bapa angkat untuk ditemuduga. Setelah itu, satu laporan akan dihantar oleh JKM kepada JPN.

C) Urusan Selesai

Setelah segala urusan selesai, barulah JPN akan mengeluarkan Sijil Pengangkatan dan Mykid yang baru kepada kanak-kanak tersebut.

Setelah Pengeluaran Sijil Pengangkatan, maka ibu bapa tersebut adalah ibu bapa angkat kanak-kanak ini secara rasni.

Walau bagaimanapun, proses ini hanya relevan bagi pengangkatan terus daripada ibubapa kandung, namun jika kanak kanak tersebut telah didaftarkan di bawah jagaan JKM, proses perlu melalui perintah mahkamah.


 

Note: This article does not constitute legal advice to any specific case. The facts and circumstances of each case will differ and, therefore, will require specific legal advice. Feel free to contact us for complimentary legal consultation.

19,953 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page