Laporan Kekayaan 2018 Knight Frank telah mencatatkan bahawa jumlah rakyat Malaysia yang amat kaya telah naik sebanyak 11 peratus iaitu kepada 310 orang pada tahun 2017, berbanding dengan 280 orang pada tahun 2016.
Tambahan pula, keluaran laporan tersebut edisi yang ke-12 pada tahun 2018 turut meramalkan bahawa penduduk yang amat kaya di Malaysia akan melonjak sebanyak 65 peratus kepada 510 orang dalam tempoh 2017 hingga 2022[1].
Walau bagaimanapun, Bank Dunia telah menerbitkan satu laporan kajian Pantauan Ekonomi Malaysia pada Disember 2019 di mana golongan millennial, yakni golongan muda berumur 25 hingga 44 tahun di negara ini menunjukkan peningkatan yang membimbangkan terhadap jumlah individu yang diisytihar muflis.
Kajian tersebut menganggarkan sebanyak 60 peratus daripada keseluruhan individu muflis di Malaysia adalah daripada golongan berkenaan[2].
Selain itu, Jabatan Insolvensi Malaysia telah mengeluarkan satu laporan pada November 2018 di mana wujud individu berusia 18 tahun yang telah diisytiharkan muflis[3].
Kita dapat melihat bahawa rekod individu muflis di Malaysia ini banyak membabitkan golongan semuda 18 hingga 44 tahun.
Apakah itu muflis?
Muflis merupakan proses di mana penghutang yang berhutang wang kepada pemiutang diisytiharkan muflis berikutan arahan mahkamah yang dikenali sebagai Perintah Penghukuman dari Mahkamah Tinggi terhadap individu tersebut.
Kriteria-kriteria bagi seseorang individu diisytiharkan muflis di Malaysia adalah pertama, dia tidak mampu untuk membayar hutang berjumlah RM100,000 ke atas.
Yang kedua, dia tidak membayar hutang lebih daripada tempoh enam bulan, dan yang terakhir individu tersebut mestilah bermastautin di Malaysia sekurang-kurangnya selama setahun[4].
Setelah mengetahui maksud dan kriteria individu muflis, lebih wajar jika punca laporan muflis yang telah dinyatakan sebentar tadi dibincangkan dengan lebih terperinci.
Salah satu punca yang dilaporkan adalah berkenaan dengan tabiat berbelanja melebihi pendapatan.
Anak muda zaman sekarang gemar menunjuk-menunjuk akan kemewahan meskipun melebihi kemampuan mereka sehingga tidak menyimpan wang untuk kecemasan di kemudian hari.
Kadar muflis yang tinggi juga adalah disebabkan mereka yang membuat pinjaman untuk penggunaan peribadi dan bukannya untuk pelaburan serta pengumpulan kekayaan.
Pada tahun 2018, kegagalan membayar balik pinjaman peribadi dan kenderaan menyumbang hampir separuh daripada jumlah kes muflis iaitu sebanyak 49 peratus.
Menurut punca keseluruhannya, kenaikan jumlah besar ini berpunca daripada golongan muda yang kurang pengetahuan akan aspek kewangan.
Bagi individu yang mempunyai masalah kewangan, pengisytiharan muflis seharusnya dijadikan sebagai jalan terakhir kerana ia merupakan suatu perkara yang serius.
Terdapat beberapa kesan bagi individu muflis yang boleh menyukarkan kehidupan kesehariannya.
Setelah individu tersebut diisytiharkan sebagai muflis, dia akan berada dibawah pengawasan Ketua Pengarah Insolvensi (KPI).
KPI akan mentadbir semua aset individu tersebut dan mengendalikannya untuk membayar hutang.
Sebagai contoh, rumah dan kereta milik individu muflis tersebut akan diambil dan diuruskan oleh KPI sebagai pembayaran hutang.
Yang kedua, individu yang muflis tidak dibenarkan untuk ke luar negara tanpa kebenaran bertulis daripada KPI atau sebelum mendapat perintah mahkamah yang membenarkannya untuk ke luar negara.
Yang ketiga, segala akaun bank yang sedia ada akan dinyahaktifkan dan tiada sebarang pengeluaran wang daripada akaun bank yang sedia ada dapat dikeluarkan oleh individu muflis.
Selain daripada itu, individu muflis juga dilarang untuk berbelanja lebih daripada RM1,000.00 menggunakan kad kredit atau dapatkan kredit lebih dari RM1,000.00 daripada mana-mana pemiutang.
Individu muflis juga mempunyai had pekerjaan, sebagai contoh, antara jenis pekerjaan yang tidak boleh diceburi boleh individu muflis adalah seperti peguam, juru ukur, akauntan dan doktor.
Akhir sekali, individu muflis tidak boleh dilantik sebagai pengarah syarikat dan memiliki perniagaan atau menjadi sebahagian daripada pemilik perniagaan.
Justeru itu, individu muflis tersebut juga tidak boleh melakukan sebarang perniagaan[5].
Pernahkah anda mendengar mengenai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)?
Tahukah anda bahawa AKPK merupakan salah satu saluran yang ideal bagi mengatasi konflik pengurusan kewangan?
AKPK merupakan satu agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan secara percuma kepada yang memerlukan.
Perkhidmatan yang ditawarkan adalah khidmat kaunseling kewangan dan nasihat, program pengurusan hutang dan juga program pendidikan ilmu kewangan.
Ramai orang awam masih belum sedar akan kewujudan AKPK dan bagaimana ia dapat membantu.
Penulisan artikel ini tertumpu kepada kes di mana anda mempunyai kesukaran dalam menguruskan kewangan hingga boleh diisytiharkan muflis.
Program Pengurusan Kredit (PPK)
Melalui bantuan profesional, AKPK telah memperkenalkan Program Pengurusan Kredit (PPK).
Program ini adalah suatu program khusus di mana seorang kaunselor kredit AKPK akan bekerjasama dengan anda untuk merangka pelan pembayaran semula pinjaman secara peribadi melalui rundingan dengan penyedia perkhidmatan kewangan anda.
Program pengurusan kredit ini disediakan untuk semua individu yang memerlukan bantuan dalam mengurus hutang peribadi mereka dengan institusi kewangan.
Faedah menyertai PPK ini termasuk ia membantu anda dalam penyusunan dalam aliran tunai, tempoh bayaran balik munasabah berdasarkan aliran tunai terkini dan penangguhan daripada tindakan undang-undang.
Hal ini adalah kerana pihak bank juga masih mempunyai hak untuk menghubungi pelangannya sekalipun anda sudah berada di dalam PPK.
Walau bagaimanapun, pihak bank tidak akan mengambil tindakan undang- undang selagi pembayaran balik program PPK berjalan dengan lancar selain daripada bebas daripada gangguan pemungut hutang.
Tambahan pula, PPK mempunyai kelebihan di mana AKPK tidak akan memaklumkan penyertaan anda di dalam program ini kepada majikan anda.
Akhir sekali, tiada sebarang sekatan perjalanan ke luar negara yang akan dikenakan ke atas anda sebagai pelanggan AKPK.
Namun begitu, setelah meneliti pengalaman individu yang terlibat dengan program AKPK, kita dapat melihat bahawa sepanjang tempoh terikat dibawah program AKPK, anda tidak boleh membuat sebarang permohonan pinjaman yang baru.
Meskipun begitu, ada juga masih mendapat pelepasan kerana ia tertakluk kepada corak bayaran balik hutang anda.
Anda juga tidak perlu bimbang sekiranya anda telah berjaya menyelesaikan hutang tersebut melalui pertolongan AKPK.
Hal ini disebabkan kerana anda boleh mengambil ‘release letter’ dan seterusnya tidak akan melalui kesukaran untuk membuat pinjaman yang baru dengan mana-mana bank, tertakluk kepada budi bicara mereka.
Namun demikian, seperti apa-apa jenis permohonan sekalipun, terdapat syarat- syarat yang harus dipatuhi.
Oleh itu, terdapat beberapa syarat untuk melayakkan anda menyertai PPK. Pertama sekali, anda mestilah bukan seorang yang muflis atau berada dibawah tindakan undang-undang. Yang kedua, anda tidak mampu menguruskan hutang anda dan yang ketiga, anda mesti mempunyai pendapatan bersih yang positif.
Yang keempat, hanya pinjaman dari penyedia perkhidmatan kewangan yang mengambil bahagian di dalam PPK sahaja dibenarkan dan yang terakhir sekali, jumlah pinjaman anda tidak melebihi RM5 juta.
Dalam saat kesulitan rentetan pandemik yang menimpa kita sekarang ini, AKPK juga menjelaskan bahawa mereka memberikan penangguhan bayaran ansuran PPK secara automatik untuk tempoh enam bulan dari April 2020 sehingga September 2020.
Walau bagaimanapun, jika anda mengemukakan permohonan PPK semasa tempoh penangguhan, iaitu dari April 2020 sehingga September 2020, penangguhan secara automatik tidak akan diberikan.
Permohonan PPK anda akan diproses seperti biasa dan penangguhan, jika ada, akan diberikan mengikut kes dan bergantung kepada merit kes tersebut.
Kesimpulannya
Bantuan profesional AKPK ini amatlah mustahak terutamanya untuk tiga kategori individu, yang pertama, mereka yang ingin menimba ilmu pengetahuan tentang pengurusan kewangan, terutamanya pengurusan hutang.
Yang kedua, individu yang ingin mendapatkan khidmat nasihat dan menguruskan hutang dengan lebih efisien sebelum ia menjadi tidak terkawal dan diisytiharkan muflis.
Akhir sekali, individu yang sudah hampir muflis dan mungkin diminta oleh pihak institusi kewangan untuk menggunakan khidmat AKPK.
Oleh itu, disarankan kepada para pembaca yang merasakan bahawa mereka benar-benar memerlukan bantuan dari segi pengurusan kewangan/hutang untuk mencuba khidmat profesional ini serta boleh menyebarkan maklumat ini sebanyak mana yang anda boleh.
[1] (April 5, 2018). ‘Jumlah rakyat Malaysia 'amat kaya' meningkat.’, retrieved from, https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2018/04/05/rakyat-malaysia-amat-kaya-meningkat, on 30th March 2020 2 Nasuha Badrul Huzaini. (Disember 11, 2019). ‘60 peratus muflis adalah golongan muda - bank dunia’., retrieved from, https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2019/12/637714/60-peratus-muflis-adalah-golongan-muda- bank-dunia, on 30th March 2020
[3] Hafiz Ithnin. (Februari 17, 2019). ‘Muflis pada usia remaja [metrotv]’, retrieved from https://www.hmetro.com.my/rencana/2019/02/424043/muflis-pada-usia-remaja-metrotv, on 30th March 2020
[4] (14 Disember 2017). ‘Apa anda perlu tahu tentang status muflis’, retrieved form, (https://www.comparehero.my/debt-management/articles/apa-anda-perlu-tahu-tentang-muflis-di-malaysia, on 30th March 2020
[5] (14 Disember 2017). ‘Apa anda perlu tahu tentang status muflis’, retrieved form, (https://www.comparehero.my/debt-management/articles/apa-anda-perlu-tahu-tentang-muflis-di-malaysia, on 30th March 2020
Note: This article does not constitute legal advice to any specific case. The facts and circumstances of each case will differ and, therefore, will require specific legal advice. Feel free to contact us for complimentary legal consultation.
Comments