[Vol.8.1] HARTA SEPENCARIAN SEBAHAGIAN DARIPADA HARTA PUSAKA

Updated: Apr 19

ADAKAH DIKIRA MENGAMBIL HARTA BUKAN HAK?

Acapkali kita mendengar dan membaca mengenai kisah isteri yang kematian suami namun tidak mendapat keadilan yang sewajarnya lalu dinafikan haknya dalam proses pengurusan harta pusaka suami.

Konflik sering timbul apabila keluarga sebelah pihak suami sama ada ibu bapa suami atau adik beradik lelaki sebelah suami yang dilantik untuk menguruskan harta pusaka si mati terus membuat pembahagian harta pusaka melalui faraid tanpa mengambil kira tentang pembahagian harta sepencarian terlebih dahulu lalu menyebabkan pertikaian antara waris-waris.

Masyarakat adakalanya dalam sedar atau tidak, seringkali terlepas pandang bahawa sebelum pengurusan harta pusaka di buat secara faraid, masih terdapat perkara- perkara lain yang perlu diselesaikan terlebih dahulu – antaranya menyelesaikan urusan pengebumian, melangsaikan hutang-piutang si mati termasuklah hutang di antara adik beradik, jiran tetangga, sahabat handai, menyempurnakan wasiat atau hibah, melangsaikan pinjaman peribadi atau pinjaman bagi pembiayaan rumah atau kereta dengan pihak bank yang masih tertunggak, dan menyelesaikan harta sepencarian.

Konsep Harta Sepencarian dalam Islam

Pada dasarnya, konsep harta sepencarian ini berasal daripada hukum adat masyarakat Melayu di mana ianya tidak bertentangan dengan hukum syarak dan agama Islam dan telah digunapakai dan diamalkan di dalam sistem perundangan Islam di Malaysia.[1]

Secara umumnya, harta sepencarian bermaksud harta yang diperolehi daripada usaha bersama oleh suami isteri sepanjang tempoh perkahwinan.

Merujuk kepada Seksyen 2, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang)[2], harta sepencarian didefinisikan sebagai ‘”harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.”

Dalam kes Yang Chik lwn. Abdul Jamal[3], Hakim telah menyatakan bahawa: “Konsep harta sepencarian ialah harta yang diperolehi semasa dalam perkahwinan dengan masing-masing suami isteri sama-sama menyumbang tenaga atau wang ringgit untuk mendapat harta tersebut”.

Harta Sepencarian Merupakan Hak Bersama Suami dan Isteri

Harta sepencarian ini merupakan hak kepada suami atau isteri di mana mereka boleh menuntut harta sepencarian sekiranya berlaku perceraian, di dalam tempoh poligami atau di dalam kes kematian pasangan termasuk harta tidak alih seperti tanah atau rumah dan harta alih seperti wang tunai, wang simpanan di dalam akaun bank, kenderaan, perabot dan lain-lain.

Suami atau isteri yang mana kematian pasangan, mereka boleh memasukkan permohonan untuk tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah dan kadar pembahagian harta sepencarian ini akan ditetapkan oleh Hakim Mahkamah syariah berdasarkan peratusan sumbangan yang dibuat secara langsung atau secara tidak langsung pasangan dalam memperolehi harta tersebut.

Isteri atau suami yang membuat tuntutan ini perlu membuktikan kepada Hakim Mahkamah syariah mengapa mereka berhak dan layak untuk mendapat kadar yang dipohon. Kadar pembahagian boleh dikategorikan sebagai pembahagian sepertiga atau kurang, pembahagian sama rata atau pembahagian separuh kepada pemohon.[4]

Oleh itu, amatlah penting sekiranya suami atau isteri menyimpan resit-resit pembelian dan dokumen-dokumen penting yang berkenaan dengan barang yang dibeli atau harta yang diperolehi secara bersama bagi memudahkan tuntutan harta sepencarian ini dibuat kelak.

Rumah atau Geran/Hakmilik di atas 2 Nama

Bagi keadaan di mana rumah atau geran/hakmilik yang mempunyai 2 nama iaitu isteri dan suami, masing-masing berhak ke atas 1⁄2 bahagian.

Sekiranya suami atau isteri meninggal, bahagian pasangan yang meninggal akan menjadi harta pusaka dan akan dibahagikan secara faraid kepada waris-waris yang berhak.

Sebagai contoh, Encik Ali dan Puan Maria di sepanjang tempoh perkahwinan telah membeli sebuah rumah teres satu tingkat bernilai RM200,000.00 (mengikut harga pasaran) secara bersama. Mereka tidak mempunyai anak dan Encik Ali masih mempunyai ibu bapa dan adik beradik lelaki.

Selepas Encik Ali meninggal, separuh bahagian rumah tersebut menjadi kepunyaan Puan Maria.

Separuh bahagian lagi bernilai RM100,000.00 akan difaraidkan kepada waris-waris yang berhak di mana Puan Maria juga berhak di dalam bahagian ini sebanyak 1/8. Selebihnya sebanyak 7/8 lagi akan dibahagilan kepada ibubapa dan adik beradik lelaki Encik Ali yang lain.

Walau bagaimanapun, Puan Maria boleh memperolehi 100% bahagian Encik Ali sekiranya mendapat persetujuan dari waris-waris yang lain iaitu ibubapa mertuanya dan adik beradik lelaki sebelah suami sekiranya mereka bersetuju untuk melepaskan hak mereka kepada Puan Maria atau Puan Maria boleh membayar 7/8 bahagian waris ini dengan wang tunai berjumlah RM87,500.00 dan memperolehi keseluruhan 1 bahagian bagi rumah teres tersebut. Puan Maria juga boleh membuat tuntutan harta sepencarian kepada bahagian Encik Ali terlebih dahulu sebelum harta peninggalan Encik Ali dibahagikan melalui faraid.

Mahkamah Syariah akan menentukan sekiranya tuntutan Puan Maria ini akan dibenarkan setelah meneliti sumbangan secara langsung atau tidak langsung yang dibuat sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

Dalam keadaan di mana rumah diletakkan di atas nama suami dan isteri tetapi pihak yang membayar pinjaman sepenuhnya adalah isteri, maka isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian bagi membuktikan bahawa pinjaman perumahan adalah dibayar sepenuhnya oleh isteri dan sekiranya dapat dibuktikan kepada Mahkamah, isteri boleh memohon untuk mendapat lebih bahagian bagi rumah tersebut.

Namun, keluarga sebelah suami masih berhak untuk menuntut harta sepencarian ke atas bahagian suami berdasarkan tahap sumbangan suami walaupun bukan secara langsung seperti memberi nafkah dan menjaga kebajikan isteri sepanjang tempoh perkahwinan.[5]

Kadangkala, suami membeli rumah dan memasukkan nama isteri dengan harapan rumah tersebut dapat didiami dan dimiliki oleh isteri apabila suami meninggal kelak.

Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan kes yang berlaku pada masa kini, isteri tidak dapat memiliki rumah tersebut kerana terdapat bahagian yang perlu difaraidkan kepada waris-waris yang lain dan seringkali pembahagian harta pusaka dibuat tanpa mengambil kira hak isteri untuk membuat tuntutan harta sepencarian terlebih dahulu sekaligus menyebabkan hak isteri dinafikan.

Adalah menjadi tanggungjawab waris atau pihak-pihak yang akan menguruskan harta pusaka si mati untuk memaklumkan kepada isteri atau suami yang kematian pasangan untuk menyelesaikan tuntutan tersebut terlebih dahulu.

Perancangan pembahagian harta pusaka

Dalam memastikan pembahagian harta pusaka berjalan lancar, suami atau isteri boleh membuat perancangan berkenaan harta pusaka ketika masih hidup bagi mengelakkan berlakunya perebutan harta pusaka dan penafian hak sekiranya berlaku kematian. Antara perancangan pembahagian harta pusaka yang boleh dibuat adalah melalui wasiat atau hibah.

Selain itu, pasangan suami isteri juga mempunyai pilihan untuk menandatangani Deklarasi Harta Sepencarian.

Deklarasi ini dapat memudahkan pasangan suami isteri sekiranya berlaku perceraian, poligami atau kematian yang mana pihak-pihak boleh bersetuju dengan kadar dan pembahagian masing-masing sekaligus dapat melindungi hak suami dan isteri.

Sekiranya instrumen ini ditandatangani, suami atau isteri sudah tidak perlu membuat tuntutan harta sepencarian di Mahkamah dan dapat menjimatkan masa dan kos.

Selain itu, pasangan suami isteri juga boleh mendapatkan khidmat nasihat peguam dalam membuat perancangan bagi pengurusan harta pusaka ini.

[1] http://kelantan.jksm.gov.my/jksnk/v2/index.php/ms/2-uncategorised/154-harta-sepencarian

[2] 2004

[3] (1986) 6 JH 146

[4] https://peguamsyariefas.com.my/tag/harta-sepencarian-2/

[5] https://www.mingguanwanita.my/peguam-ini-jelaskan-isteri-tak-perlu-bimbang-jika-nama-tiada-pada-geran- hartanah-suami/


Note: This article does not constitute legal advice to any specific case. The facts and circumstances of each case will differ and, therefore, will require specific legal advice. Feel free to contact us for complimentary legal consultation.