top of page
Writer's pictureHaadii Rahman Bin Safian

Firma Guaman Atas Awan : Bahagian 2 - Memahami Kepentingan Pengurusan Perubahan


Tidak dinafikan bahawa penggunaan teknologi awan akan membantu dalam produktiviti sesebuah firma guaman. Kesediaan solusi teknologi awan di pasaran dengan harga dan perolehan yang fleksibel membolehkan prosedur implementasinya dijalankan dengan mudah. Namun, bersediakah “sumber” sesebuah firma guaman itu untuk berubah?


Sumber sesebuah firma guaman merujuk kepada Kakitangan, Infrastruktur, Peranti Komputer, & Sumber Kewangan. Bagi Infrastruktur, Peranti Komputer, & Sumber Kewangan, ianya harus dilihat sebagai satu bentuk pelaburan jangka masa panjang demi memastikan operasi berjalan lancar dengan tahap pengurusan operasi yang lebih dinamik dan sistematik.


Namun, cabaran utama bagi implementasi teknologi awan pada firma guaman adalah pengurusan perubahan operasi melibatkan kakitangan dan peguam. Satu pelan pengurusan perubahan (“Change Management Plan”) harus dirangka secara terperinci dengan mensasarkan objektif serta matlamat yang jelas dalam jangka masa 2 hingga 5 tahun. Pelan ini harus dikongsi bersama semua kakitangan dan peguam yang terlibat dengan pencerahan secara berkala agar objektif dan matlamat transformasi sesebuah firma guaman itu tercapai.


Pelan Perancangan & Pengurusan Perubahan berkala operasi ini akan dapat membantu firma guaman dalam melaksanakan transformasi ke arah penggunaan teknologi awan secara sistematik tanpa merencatkan operasi semasa yang menyumbang kepada aliran tunai sesebuah firma guaman. Strategi melantik perunding atau pakar dalam bidang teknologi serta penubuhan jawatankuasa khas yang disertai oleh rakan kongsi firma guaman itu sendiri membolehkan pelan transformasi ini dilaksana secara holistik.


Pelaksanaan dan pemantauan secara “Top Down” proses transformasi ini amat penting agar implementasi pengurusan perubahan terhadap kakitangan dan peguam terlaksana secara konsisten mengikut pelan yang telah ditetapkan. Pendekatan menerusi kempen dalaman dalam bentuk kandungan audio visual atau video interaktif dapat mendidik kakitangan dan peguam untuk memahami objektif serta kebaikan tranformasi teknologi awan yang bakal memudahkan urusan mereka kelak.


Rakan Kongsi, Peguam, & Kakitangan sesebuah firma guaman itu juga harus bersikap terbuka dalam menerima perubahan dengan kefahaman bahawa transformasi operasi menerusi teknologi awan ini adalah perkara PENTING yang harus dilaksana tanpa kompromi.


Secara kesimpulannya, perubahan itu tidak mudah dilaksanakan kerana ia melibatkan sumber manusia yang sudah terbiasa serta selesa dengan disiplin operasi sedia ada. Namun, dengan pelan perancangan perubahan yang strategik dan berkala, ianya akan dapat direalisasikan dalam satu tempoh masa yang singkat.

98 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page