Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA)

Updated: Mar 25

Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bernilai RM20 bilion merupakan inisiatif terbaharu kerajaan bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi, menyumbang dalam bidang perniagaan dan membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

FOKUS PERTAMA: MENGAWAL PENULARAN COVID-19

1. Penguatkuasaan Perundangan Yang Ketat dan Telus

  • Syarikat yang berdaftar dengan MITI untuk program “Safe@Work” dibenarkan beroperasi; di mana pekerja-pekerja kontak rapat diasingkan dengan menempatkan mereka di dalam “safe work bubble” sehingga mereka disahkan negatif COVID-19.

  • Kerajaan bersetuju memberikan potongan cukai tambahan kepada syarikat pengilangan dan syarikat perkhidmatan berkenaan dengan pengilangan ke atas perbelanjaan sewaan premis dan asrama pekerja untuk menggalakkan syarikat menyertai inisiatif ini. Perbelanjaan yang layak mendapat potongan cukai tambahan ini dihadkan kepada 50 ribu ringgit.

  • Majikan yang melakukan ujian COVID-19 untuk pekerjanya dibenarkan mendapat potongan cukai tambahan ke atas kos ujian pengesanan COVID-19 untuk perbelanjaan yang dibuat sehingga 31 Disember 2021.

FOKUS KEDUA: MEMACU PEMULIHAN EKONOMI

2. Pelaksanaan Projek-Projek Kecil Seluruh Negara

  • Peruntukan projek berskala kecil akan ditambah daripada RM2.5 bilion kepada RM5 bilion. Pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam yang rosak akibat banjir, pembaikan jalan, program ameniti sosial, baik pulih perumahan berstrata termasuk penggantian lif di perumahan awam, serta pembinaan gerai di kawasan PBT merupakan antara projek kecil yang akan dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4.

3. Geran Khas Prihatin 3.0

  • Kerajaan akan meneruskan Geran Khas Prihatin (GKP 3.0) di mana setiap perusahaan mikro dan PKS yang layak akan menerima bantuan one-off sebanyak 1,000 ringgit.

4. Kemudahan Mikro Kredit

  • Kerajaan akan menyediakan dana pembiayaan tambahan sebanyak RM500 juta untuk kemudahan pembiayaan mikro kredit melalui program-program di bawah BSN, TEKUN, MARA serta SME Corp.

5. Pengekalan Pekerjaan dan Insentif Penggajian

  • Kerajaan akan mengembangkan skop insentif pengambilan pekerja untuk pekerjaan sementara dan pekerjaan gig. Antaranya:

  • Menyediakan peruntukan RM300 juta di mana setiap pekerja akan menerima RM600 sebulan selama tempoh maksimum 6 bulan; dan

  • Pekerjaan jangka pendek ataupun platform penyedia perkhidmatan gig yang berdaftar dengan PERKESO akan menerima RM200 bagi setiap pekerja yang ditempatkan.

  • Kerajaan akan memperuntukkan RM700 juta bagi melanjutkan Program Subsidi Upah 3.0 selama tiga bulan lagi secara lebih bersasar.

  • Program perantisan akan dilanjutkan oleh kerajaan selama 6 bulan, di mana pelatih yang menyertai program ini akan diberi insentif sebanyak RM800 bagi tempoh perantisan 6 bulan.

6. Merangsang Semula Sektor Pelancongan dan Peruncitan

  • Pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel akan diteruskan oleh kerajaan sehingga 31 Disember 2021;

  • Melanjutkan galakan cukai kepada syarikat pengendali pelancongan sehingga tahun taksiran 2022;

  • Pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan akan ditangguhkan mulai 1 April hingga 31 Disember 2021 kepada syarikat industri pelancongan dan industri terpilih;

  • Pengecualian duti hiburan akan diberikan ke atas bayaran kemasukan ke tempat hiburan;

  • Skop pelepasan khas cukai pendapatan individu akan diperluaskan sehingga RM1,000 merangkumi perbelanjaan pembelian pakej pelancongan melalui ejen pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC; dan

  • Pengecualian levi HRDF akan diberikan bagi syarikat sektor pelancongan dan peruncitan yang terjejas untuk tempoh sehingga Jun 2021.

  • Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Geran Bantuan Khas secara one-off sebanyak RM3,000 kepada lebih 5,000 agensi pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC dan memberikan bantuan tunai secara one-off sebanyak RM600 kepada pengusaha homestay yang berdaftar dengan MOTAC.

  • Diskaun khas bil elektrik akan diberikan sebanyak 10 peratus akan dilanjutkan selama 3 bulan lagi sehingga 30 Jun 2021.

7. Mengurangkan Beban Syarikat dan Memperkasa Koperasi

  • Had pengumpulan dana akan dinaikkan kepada RM20 juta dan Equity Crowdfunding akan dikembangkan kepada syarikat berhad yang tidak tersenarai.

  • Fi berkaitan penyenaraian akan dikecualikan selama 12 bulan untuk syarikat yang memohon penyenaraian di pasaran MAIN, LEAP atau ACE. Rebat untuk fi penyenaraian tahunan bagi tahun 2021 juga akan diberikan kepada syarikat tersenarai yang telah melaporkan kerugian mereka.

  • Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menaikkan nilai ambang keterhutangan atau indebtedness threshold daripada 10 kepada 50 ribu ringgit dan menyediakan kemudahan pendaftaran perniagaan percuma kepada kumpulan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

  • Insentif pembiayaan akan diberikan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia sehingga RM100 ribu tanpa cagaran dan memberi kelonggaran bayaran balik selepas enam bulan pembiayaan diluluskan.

  • RM50 juta daripada Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan diperuntukkan.

FOKUS KETIGA: MEMPERKUKUH DAYASAING NEGARA

8. Mengukuhkan Persekitaran Perniagaan

  • Kerajaan melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan atau PEMUDAH memperluaskan program Authorised Economic Operator Nasional yang memberi kemudahan kepada syarikat menguruskan eksport dan import dan pemendekan tempoh memproses permohonan pelaburan.

9. Automasi dan Digitalisasi

  • Bank Negara Malaysia telah meningkatkan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar sebanyak RM2 bilion dan Fasiliti Automasi dan Digitalisasi sebanyak RM700 juta.

  • Skim pembiayaan pembangunan automasi, digitalisasi dan penggunaan teknologi hijau akan disediakan oleh MIDF sebanyak RM200 juta. MIDF juga telah bersetuju untuk mengurangkan kadar faedah pinjaman dari 5 kepada 3 peratus bagi tempoh 12 bulan, bermula 1 April 2021.

  • Dana tambahan sebanyak RM50 juta bagi Geran Automasi Pintar di bawah MIDA turut diberikan.

  • Peruntukan sebanyak RM50 juta akan diberikan kepada program Industry4WRD di bawah MITI.

  • SME Bank akan memberikan dana pinjaman RM200 juta bagi membiayai pembelian mesin dengan insentif geran sehingga 20 peratus ke atas nilai mesin.

10. Menggalakkan Pelaburan dan Pasaran Eksport

  • MITI akan melaksanakan eBizLink, iaitu platform pemasaran digital secara maya dan hibrid, serta inisiatif Globepreneur.

  • Bagi setiap syarikat yang menyertai platform pameran antarabangsa, kerajaan akan menaikkan siling Geran Pembangunan Pasaran atau MDG daripada RM300 ribu kepada RM500 ribu. Geran padanan bernilai RM50 juta akan diberikan bagi memajukan industri aeroangkasa dan peranti perubatan.

FOKUS KEEMPAT: MEMASTIKAN AGENDA KETERANGKUMAN

11. Prihatin Wanita

  • Kerajaan akan menyediakan dana RM30 juta bagi menolong usahawan wanita bertukar ke pasaran dalam talian., BSN juga akan memberikan RM50 juta untuk Skim Pembiayaan Mikro PEMERKASA-NITA untuk memberi galakan usahawanita menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

  • Peruntukan sebanyak RM10 juta dalam bentuk dana padanan 70 peratus untuk usahawan wanita dan wanita yang bekerja sendiri.

12. Prihatin Belia

  • Peruntukan sebanyak RM10 juta akan ditambahkan untuk Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar atau PEKB.

  • Peruntukan untuk Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera akan ditambah untuk melahirkan 250 usahawan belia Bumiputera baharu. Program New Gen Entrepreneur Online Bootcamp akan diperkenalkan untuk tujuan latihan penyediaan serta bimbingan perniagaan secara dalam talian kepada 2,000 orang usahawan belia.

  • BSN juga memberikan Skim Pembiayaan Mikro PEMERKASA- BELIA dengan kadar serendah 3 peratus.

Baca pengumuman ini dalam Bahasa Inggeris di sini.

45 views0 comments