top of page

SUAMI POLIGAMI, APA HAK BUAT ISTERI?


Sekiranya anda mendapati bahawa suami anda telah berkahwin lain atau memohon izin untuk mendirikan rumah tangga lagi, sebagai seorang isteri, apakah tindakan dan hak yang anda perlu ketahui?


Secara umumnya, apabila anda (seorang isteri) mengetahui bahawa anda telah dipoligami, maka sewajarnya anda perlu bertindak bijak dan tangkas dalam menentukan beberapa perkara penting, antaranya adalah menuntut HARTA SEPENCARIAN. Hal ini demikian kerana anda turut mempunyai hak dalam harta tersebut yang merupakan perkongsian hidup antara anda dan pasangan.


Seksyen 23(10)(b) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 (EUKIPP 2004) memperuntukan bahawa isteri boleh memohon perintah daripada mahkamah supaya diadakan terlebih dahulu pembahagian harta sepencarian sebelum permohonan poligami disahkan.

Arahan Amalan Mahkamah Syariah No. 14 Tahun 2006 menyebut bahawa bidang kuasa membicarakan kes poligami dan perisytiharan dan pembahagian harta sepencarian dan perkara-perkara lain yang berkaitan yang diperuntukkan di bawah seksyen 23 Akta/ Enakmen/Ordinan undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri hendaklah dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah.


Dalam kes Salina bt Ab Rahman v Awi bin Ismail [2013] 2 SHLR 55, persoalan mengenai tafsiran dan konsepnya telah dijelaskan pada Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam 1985, iaitu 'harta sepencarian' adalah harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara'. Manakala persoalan mengenai bagaimana untuk menentukan sumbangan dan takatnya ianya telah diperuntukkan secara terperinci dalam Seksyen 57 Enakmen yang sama sebagaimana yang disebutkan sebelum ini. Kedua-dua peruntukan seksyen ini jika dibaca bersama maka kita boleh fahami bahawa kehendak undang-undang dalam harta sepencarian itu boleh wujud dalam tiga keadaan, iaitu:

  • Pertama: harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak, dengan usaha bersama mereka;

  • Kedua: harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak, dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu; dan

  • Ketiga: aset-aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu berkuat kuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak oleh pihak yang satu lagi itu atau dengan usaha bersama suami isteri.

Merujuk kepada kes Sharif Bin Jamaluddin Lwn Kuning Binti Kassim (1999) 15 JH 173 juga, isteri telah menuntut wang simpanan suami dibahagi dua sebagai Harta Sepencarian sekiranya suami berkahwin lain. Dalam kes Ainisram bin Ramli v Norliah bt Misnan [2017] 1 SHLR 47 pula, Mahkamah telah menolak permohonan poligami Plaintiff kerana Plaintiff tidak bersedia membahagikan harta sepencarian dengan Defendan untuk mengelak berlakunya kemudharatan terhadap harta yang Defendan mempunyai hak ke atasnya.


Perkara kedua yang boleh dituntut oleh anda sebagai isteri adalah berkenaan hal NAFKAH. Dalam berpoligami, Islam mewajibkan suami memberi keadilan kepada isteri-isteri dalam perkara-perkara zahir seperti makanan, tempat tinggal, pakaian dan giliran tidur bermalam dengan isteri-isteri. Sekiranya pernikahan poligami tersebut disahkan oleh mahkamah, maka isteri sedia ada boleh memohon perintah nafkah diri serta hutang-hutang dalam perkahwinan termasuklah tunggakkan nafkah isteri dan anak serta hak tempat tinggal.


Seksyen 23(10)(a) EUKIPP 2004 memperuntukan bahawa isteri boleh memohon perintah daripada mahkamah supaya suami untuk membuat pembayaran nafkah kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada. Malah, Berdasarkan Seksyen 70 EUKIPP 2004, isteri juga boleh menuntut nafkah yang tertunggak dan terhutang sepanjang perkahwinan.


Merujuk kes Amran bin Ibrahim v Haslinda binti Abdul Halim, mahkamah telah meluluskan permohonan poligami tersebut dengan melihat kepada kemampuan pemohon untuk berpoligami di mana pemohon telah pun mengaku untuk memberi nafkah kepada semua tanggungannya iaitu RM800 sebulan kepada isteri pertama, RM800 sebulan kepada isteri kedua dan tiada nafkah untuk anak kerana tiada zuriat.


Di dalam kes Mohd Izudin bin Mohd Ilias v Rozeta bt Hasan [2013] 3 SHLR 59, mahkamah berpuas hati bahawa tidak ada apa-apa halangan bagi plaintif untuk berkahwin dengan bakal isteri keduanya. Kesemua syarat-syarat yang perlu telah dipenuhi oleh plaintiff. Plaintif difardukan dengan persetujuan bersama defendan dan isteri kedua melaksanakan perkara-perkara berikut: (i) giliran bermalam antara isteri pertama dengan isteri kedua adalah dalam seminggu empat hari dengan isteri pertama dan tiga hari dengan isteri kedua pada hari sesuai mengikut putaran; (ii) nafkah seperti berikut: RM1,000 sebulan untuk isteri pertama dan RM1,000 sebulan untuk isteri kedua serta RM1,500 sebulan untuk anak-anak isteri.


Merujuk kes Sharif Bin Jamaluddin Lwn Kuning Binti Kassim (1999) 15 JH 173, suami telah membuat permohonan kebenaran poligami namun tidak dipersetujui oleh pihak isteri. Isteri kemudiannya membuat tuntutan balas menuntut antaranya nafkah isteri sebanyak RM500.00 serta nafkah anak sebanyak RM1,000.00. Pihak Mahkamah semasa meluluskan permohonan suami telah memerintahkan agar suami membayar nafkah isteri dan anak sebanyak RM1,500.00.


Manakala dalam kes Ainisram bin Ramli v Norliah bt Misnan [2017] 1 SHLR 47, mahkamah juga telah menolak permohonan poligami Plaintiff memandangkan Plaintiff tidak membuat perancangan yang teliti dari segi kewangan dengan menyediakan keperluan nafkah makan minum, pakaian dan tempat tinggal yang selayaknya untuk Defendan.


Mahkamah dalam kes Adibah bt Mohd Salleh & Anor v Shareena bt Azali [2012] 4 SHLR 60 telah merujuk Arahan Amalan No 14 Tahun 2006 dan berpandangan bahawa mahkamah perlu memanggil isteri atau isteri-isteri yang sedia ada supaya hadir apabila permohonan pengesahan perkahwinan poligami didengar. Hal ini demikian kerana kehadiran isteri sedia ada sebagai Responden memberi peluang kepadanya membuat pembelaan dan tuntutan balas berkaitan hak-haknya dan hak anak-anaknya seperti nafkah dirinya, nafkah anak-anaknya, tempat kediaman, giliran bermalam dan harta sepencarian serta hadanah.


Seterusnya, hak ketiga isteri sedia ada yang boleh dituntut dan perlu dilunaskan oleh suami apabila permohonan poligami diluluskan ialah MAHAR dan sekiranya suami gagal menjelaskannya, anda boleh menganggapnya masih terhutang berdasarkan Seksyen 23(8) EUKIPP 2004.


Jika kita lihat, Seksyen 23(4) EUKIPP 2004 itu tidak bertujuan menghapuskan poligami tetapi memperuntukkan syarat-syarat ketat yang membina dengan harapan keadilan bagi keluarga Islam dapat tercapai dengan lebih berkesan lagi. Keadilan menjadi perkara utama untuk diberi perhatian bagi mereka yang berpoligami. Berlaku adil antara isteri-isteri itu hukumnya wajib sebagai perintah agama, lebih daripada keadilan yang diperintahkan dalam pergaulan dengan sesama manusia umumnya.


Secara kesimpulan, dalam berpoligami, Islam mewajibkan suami memberi keadilan kepada isteri-isteri dalam perkara-perkara zahir seperti makanan, tempat tinggal, pakaian dan giliran tidur bermalam dengan isteri-isteri. Dalam kes ini, seorang suami perlulah mampu untuk berlaku adil dan bersedia untuk melunaskan hak-hak terhadap isteri-isterinya dengan sewajanrnya. Manakala pihak isteri pula harus cakna dengan hak masing-masing demi menjamin kemaslahatan hidup dan agar hak-haknya tidak terabai.

70 views0 comments

Comments


bottom of page