Advertising Permit and Developer License (APDL) atau juga dikenali sebagai Lesen Permit Pengiklanan Pembangunan merujuk kepada lesen yang diberikan kepada Pemaju untuk memastikan mereka mematuhi peraturan-peraturan berkaitan perundangan berlandaskan Akta Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).
Fungsi utama APDL adalah sebagai platform yang kukuh kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memantau aktiviti para Pemaju. KPKT akan memastikan kesemua Pemaju yang berdaftar menjalankan projek-projek perumahan berlandaskan undang-undang yang telah ditetapkan.
Pihak kerajaan berhak untuk memantau dan mengetahui maklumat penting seperti harga jualan hartanah untuk memastikan ia menjadi harga yang berpatutan dan mampu milik kepada pengguna. Pemantauan ini dilakukan untuk memastikan hak-hak pengguna dilindungi daripada pemaju-pemaju yang licik yang seringkali menjual hartanah dengan harga yang tidak munasabah.
APDL juga bertindak sebagai penghalang terhadap sebarang penipuan dan maklumat yang mengelirukan, misalnya pemasaran palsu, pengabaian projek separuh jalan atau terbengkalai, dan pelbagai lagi perkara yang lain yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pihak pemaju.
Seterusnya, terdapat beberapa standard piawaian yang mesti dipatuhi oleh pemaju dalam mengiklankan projek perumahan. Maklumat-maklumat penting yang harus dipaparkan dalam iklan mereka adalah seperti berikut;
Tempoh sah
Nama projek
Pemilikan Tanah
Jangkaan tarikh siap
Harga minimum dan maksimum
Nombor pelan bangunan
Terdapat juga beberapa perkara yang tidak boleh dijanjikan oleh pemaju hartanah dalam sebuah pengiklanan, seperti;
Menawarkan yuran perundangan percuma
Keuntungan pulangan kewangan dan pendapatan sewa
Menjanjikan panorama indah
Tempoh perjalanan dari/ke destinasi popular
Justeru itu, sebelum membuat sebarang pembelian hartanah daripada pemaju, pengguna haruslah memastikan pemaju tersebut adalah pemaju yang berdaftar dan mempunyai lesen APDL. Elakkan daripada ditipu oleh pemaju-pemaju yang tidak jujur dan menjanjikan pulangan atau tawaran yang tidak munasabah.
"Click Me" for the Full Version
Comments