Carian hartanah merupakan satu proses di mana semakan daftar hakmilik hartanah boleh dilakukan. Hasil daripada carian hartanah ini, kita dapat mengetahui status terkini berkenaan suatu hartanah tersebut.
Terdapat dua jenis carian yang boleh dilakukan iaitu carian persendirian dan carian rasmi. Carian Rasmi atau lebih dikenali sebagai Sijil Carian Rasmi merupakan satu dokumen yang telah ditandatangani oleh pendaftar yang telah memastikan bahawa kandungannya tersebut terdapat maklumat hakmilik, pemilikan tanah dan perkara berkaitan yang masih berkuatkuasa seperti mana yang terkandung di dalam geran tanah asal.
Kandungan Carian Persendirian adalah sama seperti sijil carian rasmi, namun perbezaannya adalah carian persendirian tidak ditandatangani oleh pendaftar. Selain itu, kadar bayaran yang dikenakan untuk carian rasmi juga lebih tinggi berbanding carian persendirian.
Kegunaan carian rasmi ini adalah untuk dilampirkan bersama apa-apa permohonan rasmi seperti permohonan pusaka, permohonan untuk mengeluarkan KWSP dan sebagainya. Kegunaan carian persendirian pula adalah bagi mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan tanah sama ada masih berkuatkuasa atau tidak.
Tambahan pula, carian ini boleh dibuat oleh sesiapa sahaja sama ada individu perseorangan, agensi, syarikat atau badan berkepentingan. Pada musim Covid-19 ini, temujanji harus dibuat terlebih dahulu sebelum memohon untuk membuat carian.
Kepentingan membuat carian tanah ini adalah seperti yang berikut:
Memastikan status tanah dan status pemilik berdaftar
Memastikan sama ada tanah itu tertakluk kepada mana-mana syarat nyata tanah, sekatan kepentingan atau apa-apa proses pengambilalihan tanah.
Memastikan sama ada tanah tersebut dikenakan kaveat atau perintah larangan memindah geran
Mengenalpasti jenis kegunaan tanah. Jika yang tertera pada carian adalah jenis kegunaan pertanian, maka kita tidak boleh membina bangunan di atas tanah tersebut.
Tempoh untuk carian tanah bergantung kepada pejabat tanah itu sendiri. Walau bagaimanapun, ianya dapat dianggarkan seperti berikut:
Carian Tanah Persendirian - minimum satu (1) hari bekerja
Carian Tanah Rasmi - minimum tujuh (7) hari bekerja
Carian hartanah dapat memberi manfaat kepada pihak yang melakukannya. Sekiranya kita mempunyai urusan di mana hartanah merupakan subjek utama, maka anda digalakkan untuk membuat carian terlebih dahulu. Bukan sekadar itu, pihak yang namanya sudah didaftarkan juga perlu membuat carian hartanah untuk mengetahui status tanah anda yang terkini.
"Click Me" for the Full Version
Comentários