top of page
Norroziyana Binti Rahim

[Vol.1.4] SUATU IKTIBAR, BILA PUSAKA JADI PUAKA

Updated: Feb 25, 2021

Secara dasarnya, harta pusaka adalah harta peninggalan seorang si mati yang merangkumi harta alih atau pun harta tidak alih di antaranya wang tunai, rumah, tanah, barang kemas, wang simpanan dan lain-lain lagi.

Harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban waris-waris yang masih hidup. Harta pusaka tersebut dapat digunakan oleh mereka meneruskan kelangsungan hidup dan perbelanjaan harian.

Walaubagaimanapun, harta pusaka juga boleh menjadi punca pertikaian, putus persaudaraan dan kekeruhan hubungan kekeluargaan. Hal ini boleh berlaku apabila terdapat sifat tamak mahupun jahil di dalam pembahagian harta pusaka dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan berhubung dengan harta pusaka tersebut.

Terdapat waris yang memahami tuntutan agama dan menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan baik, namun tidak mustahil juga, terdapat waris yang tamak dan menidakkan hak waris-waris sehingga sanggup memakan harta anak yatim dan waris-waris yang lain.

Terdapat pelbagai isu yang boleh membawa kepada isu pertelingkahan ini seperti:-

1. HARTA PUSAKA VS. HARTA SEPENCARIAN

Pada dasarnya, apabila seorang lelaki yang bergelar suami meninggal dunia tanpa sebarang peninggalan wasiat ataupun hibah kepada waris-warisnya, maka harta pusakanya akan dibahagikan secara faraid.

Selepas urusan pengebumian dan hutang-hutang si mati diselesaikan, isteri/balu si mati boleh menuntut harta sepencarian si mati terlebih dahulu daripada harta pusaka. Kemudian barulah baki tersebut akan dibahagikan secara faraid.

Kadangkala, seorang balu tidak akan menuntut harta sepencarian daripada peninggalan harta pusaka tersebut atas alasan bahagian itu akan jatuh ke tangan anak-anak si mati terutamanya apabila si mati ada meninggalkan waris anak lelaki dan juga ibu bapa kandung si mati telahpun meninggal dunia, maka keseluruhan harta pusaka si mati akan jatuh kepada isteri dan anak-anaknya sahaja.

Namun begitu, terdapat juga kes yang berlaku di mahkamah di mana seorang suami telah meninggal dunia tidak berwasiat dan tidak meninggalkan waris (anak-anak), akibatnya berlakulah pertelingkahan di antara isteri, ibu bapa kandung dan adik beradik si mati untuk mendapatkan harta pusaka terebut sehingga kes telah dibicarakan di Mahkamah Syariah selama bertahun-tahun. Berlaku perebutan harta pusaka si mati di antara si isteri dengan bekas mertua untuk mendapatkan harta pusaka tersebut.

Pada zaman moden ini, tidak dinafikan bahawa kebanyakan isteri adalah penyumbang terbesar daripada sudut kewangan terhadap pemerolehan harta di dalam rumah tangga. Untuk kes harta sepencarian sebegini, adalah penting bagi si isteri untuk menyimpan dengan teratur bukti-bukti pembayaran supaya dapat dikemukakan di mahkamah. Mahkamah Syariah akan membuat keputusan sejauh mana hak seorang isteri terhadap harta pusaka tersebut di mana baki selebihnya akan dibahagikan secara faraid.

Iktibar bagi kes ini adalah di dalam kes keluarga yang tidak mempunyai zuriat (anak-anak) seperti ini, kaedah berwasiat dan hibah adalah sangat penting untuk memelihara hak dan kepentingan waris (isteri) serta dapat menjaga keharmonian dan hubungan kekeluargaan di antara isteri dan keluarga kandung si mati selepas kematian si suami.

2) SI MATI (SUAMI) TIADA ANAK LELAKI

Acapkali kita melihat anak-anak yatim yang terabai apabila ketiadaan bapanya. Sementara anak-anak yatim ini sepatutnya dibantu oleh kaum keluarga, namun hal-hal sebaliknya dikhuatiri akan berlaku.

Sebagai contoh, adik beradik si mati mendesak untuk mendapatkan bahagian harta pusaka si mati dengan alasan si mati tiada anak lelaki maka isteri dan anak perempuan tidak layak untuk memperoleh keseluruhan harta pusaka tersebut.

Kebanyakan kes berlaku di mana adik beradik memperolehi harta pusaka tersebut, maka tinggallah isteri dan anak-anak si mati terbiar dan tidak lagi dianggap sebagai ahli keluarga. Realiti dunia ini kelihatan kejam tapi ia benar- benar berlaku.

Malah terdapat hal harta pusaka melibatkan rumah pusaka yang sukar diselesaikan dan dibiar tergantung bertahun-tahun disebabkan waris-waris sama ada adik beradik si mati atau ibu bapa kandung si mati yang tidak mahu bersepakat untuk menyelesaikan hal tersebut dengan isteri si mati. Sedangkan Islam menegaskan tanggungjawab sebenar waris-waris yang menerima pembahagian harta pusaka ini adalah untuk membantu anak-anak yatim tersebut.Namun, ramai yang tidak sedar akan perkara ini lalu menyebabkan ramai yang telah teraniaya.

Oleh itu, iktibar bagi keluarga yang hanya memiliki waris anak perempuan supaya berwasiatlah untuk menjaga kebajikan anak-anak ini seandainya berlaku kematian kepada ketua keluarga mereka suatu hari nanti.

3) HAK “PENAMA” VS. PENERIMA

Di dalam beberapa urusan institusi antaranya KWSP, ASB, Tabung Haji dan lain- lain, pihak institusi yang berkenaan sangat menggalakkan pemilik akaun meletakkan nama “penama” sekiranya berlaku kematian kepada pemilik akaun tersebut. Kepentingan “penama” ini sebenarnya adalah untuk mempermudahkan urusan pengeluaran wang di dalam akaun tersebut bagi tujuan pembahagian harta pusaka.

Sayangnya, seringkali berlaku “penama” terleka atau jahil akan ilmu harta pusaka dan tidak mengetahui bahawa harta tersebut bukanlah milik “penama” yang sebenarnya. Tanggungjawab sebenar “penama” adalah untuk mempermudahkan urusan pembahagian harta tersebut namun dianggap harta tersebut adalah miliknya secara keseluruhan.

Iktibar daripada keadaan ini adalah pemilik akaun digalakkan untuk memaklumkan “penama” akan tanggungjawabnya sebagai seorang “penama” selepas kematiannya iaitu untuk mempermudahkan urusan dan menguruskan pembahagian harta pusaka tersebut mengikut syariat Islam. Andaikata pemilik akaun tidak mempunyai “penama” yang amanah, maka adalah digalakkan untuk pemilik akaun berwasiat supaya pembahagian tersebut menjadi lebih jelas dan teratur.

4. BUKTI-BUKTI PEMBAYARAN OLEH PIHAK KETIGA

Kadangkala wujud kes-kes di mana tiba-tiba terdapat tuntutan daripada pihak ketiga kepada harta pusaka si mati. Hal ini boleh berlaku apabila sesuatu harta contohnya sebuah rumah yang telah dibeli menggunakan nama si mati namun

pembayaran hutang-hutang dilakukan oleh pihak ketiga. Antara kes-kes yang boleh dijadikan iktibar termasuklah:-

i) Kasih Sayang Ibu Angkat (Tiada Anak) dan Anak Angkat.

Sebuah kes berlaku apabila anak angkat tinggal bersama seorang ibu angkat yang tidak berkahwin dan membeli sebuah hartanah menggunakan kedua-dua nama. Namun, urusan bayaran pinjaman hartanah tersebut ditanggung sepenuhnya oleh anak angkat tersebut.

Apabila berlaku kematian ibu angkat itu,, anak angkat hanya mendapat sebahagian hartanah, manakala sebahagian lagi diisytiharkan sebagai pusaka ibu angkat. Memandangkan ibu angkat ini tidak berkahwin dan tidak mempunyai waris, maka Mahkamah Syariah meletakkan hak Baitulmal bagi harga peninggalan ibu angkat tersebut.

Hal ini sangat mengecewakan dan menyedihkan bagi anak angkat tersebut kerana pada anggapannya, hartanah tersebut adalah milik beliau sepenuhnya. Beliau yang selama ini menanggung beban hutang, namun akhirnya hartanah tersebut menjadi sebahagian harta Baitulmal.

Iktibar bagi kes ini adalah sangat dinasihatkan bagi individu yang tidak berkahwin supaya berwasiat. Berwasiat itu sangatlah dituntut untuk mengelakkan kekeliruan selain menyerahkan sesuatu kepada orang yang berhak. Sekiranya ibu angkat tersebut berwasiat atau menghibahkan hartanah tersebut kepada anak angkatnya ketika masih hidup, maka sudah tentu terbela hak anak angkat itu terhadap hartanah tersebut.

ii) Perjanjian Jual Beli Menggunakan Nama Pihak Ketiga

Terdapat kes yang berlaku di mana pembelian hartanah menggunakan nama pihak ketiga untuk membantu kelulusan pinjaman bank. Hal ini berkisar akan penggunaan nama semata-mata akan tetapi hakikatnya urusan hartanah, pembayaran hutang dan pendudukan fizikal kesemuanya diuruskan oleh satu nama sahaja.

Adalah dinasihatkan untuk pihak ketiga yang masih hidup untuk sebaiknya melaksanakan wasiat atau hibah untuk menyerahkan haknya ke atas hartanah tersebut kepada pihak satu lagi terlibat. Hal ini adalah untuk mengelakkan pertelingkahan antara waris pihak ketiga dengan pihak yang satu lagi sedangkan semua urusan hartanah tersebut termasuk pembayaran hutang dan lain-lain ditanggung olehnya seorang diri.

Hal sebegini dapat dilihat dengan sangat jelas sekiranya berlaku kematian tidak berwasiat, maka, sebuah isu yang besar akan timbul seperti “ sama ada hartanah tersebut harta pusaka milik si mati atau tidak?” dan hal ini hanya boleh diputuskan oleh Mahkamah dan berkemungkinan menyebabkan pertelingkahan di antara kedua-dua pihak waris dan pihak yang satu lagi.

Oleh itu, di dalam keadaan-keadaan yang telah dinyatakan, kaedah berwasiat adalah sangat digalakkan. Laksanakanlah wasiat untuk ketenangan jiwa ketika hidup dan keselesaan waris-waris setelah si mati meninggal dunia.

Kesimpulan

Sama ada harta pusaka ini meninggalkan kesan positif kepada waris-waris atau menjadi puaka yang menghantui kehidupan dan ketenangan hidup waris-waris, anda mempunyai kuasa untuk menentukannya dari sekarang. Segera hubungi Peguam anda untuk mendapatkan nasihat yang sewajarnya. Semoga dengan sedikit usaha ini, ketenangan hidup dapat dicari dan ukhuwah persaudaraan selepas kematian dapat dikekalkan dengan baik. Wallahualam. ☺

231 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page