Pada masa kini, kenderaan seperti kereta telah menjadi salah satu keperluan penting kepada individu terutamanya bagi mereka yang mempunyai keluarga.
Namun begitu, kebanyakan individu masih belum mampu untuk membeli first-hand car untuk kegunaan sendiri.
Oleh itu, mereka menggunakan kaedah menyambung bayar kereta yang dibeli dari pihak ketiga. Perkara ini sering terjadi dalam situasi yang berkenaan:-
Individu yang tidak layak untuk membuat pinjaman dengan bank bagi membeli kereta baharu; ataupun
Individu yang ingin membantu saudara atau rakan yang dihimpit masalah kewangan dengan menjelaskan ansuran bulanan kereta tersebut.
Walaubagaimanapun, ingin dijelaskan di sini bahawa nama pemilik pada geran kereta tetap kekal di atas nama peminjam (pemilik asal) dan bukannya individu yang menyambung bayar.
Konsep ini adalah seperti konsep kepercayaan di antara pemilik asal dan ‘si penyambung bayar’ dengan membenarkan pihak yang menyambung bayar menggunakan kereta tersebut.
Pejabat peguam sering menerima permintaan untuk membuat deraf “Perjanjian Sambung Bayar Kereta”, di mana perjanjian ini dibuat untuk menjamin kepentingan kedua-dua belah pihak, di mana bagi pihak si penyambung bayar, pemilik tidak akan menjual kereta tersebut kepada pihak lain.
Manakala, bagi pihak pemilik, untuk melindunginya sekiranya terdapat keingkaran bayaran dari pihak si penyambung bayar.
Perkara yang wajib ditegaskan di sini bahawa “Perjanjian Sambung Bayar Kereta” ini adalah salah di sisi undang-undang dan jika disabit kesalahan akan membawa denda maksimum tidak melebihi RM 30,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali[1].
Ini telah dinyatakan di bawah Seksyen 38 Akta Sewa Beli 1967 di mana, telah dinyatakan;
“Setiap orang yang melalui pelupusan atau penjualan mana-mana barang yang dirangkumi dalam sesuatu persetujuan sewa beli, atau melalui penyingkaran barangan tersebut, atau melalui kaedah-kaedah yang lain, menipu atau cuba menipu pemilik melakukan sesuatu kesalahan.”[2]
Jadi, ia harus diingatkan bahawa, jika seseorang membeli melalui “kaedah sambung bayar”, apa-apa jenis perjanjian yang ditandatangani di antara pemilik asal kereta dan juga “si penyambung bayar” adalah tidak sah di sisi undang-undang.
Selain itu, sesiapa yang melanggar Seksyen 38 Akta Sewa Beli 1967 akan dikenakan denda yang telah diperuntukan di bawah Seksyen 46 Akta Sewa Beli 1967, yang menyatakan;
“Sesiapa yang melanggar peruntukan-peruntukan di bawah Akta ini dan jika didapati bersalah boleh dihukum dengan denda tidak melibihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.”[3]
Satu perkara yang semua harus sedar adalah kereta yang dibeli secara sewa beli (hire purchase) merupakan pemilikan pihak bank secara keseluruhan sehingga peminjam menjelaskan bayaran pinjaman secara keseluruhan.
Jadi, konsep menyambung bayar ini merupakan suatu kesalahan disebabkan peminjam tidak berhak untuk menjual kereta tersebut melainkan setelah mendapat keizinan daripada pihak bank.
Pemilik juga tidak mempunyai hak untuk menjual kenderaan tersebut kepada pihak ketiga tanpa kebenaran dan pengetahuan daripada pihak bank.
Jika terdapat perjanjian seperti ini, kontrak ini dipanggil void ab initio (tidak sah dari pemulaan).
Mengikut Seksyen 24 Akta Kontrak 1950, kontrak yang melibatkan sesuatu yang haram dari segi undang-undang tidak boleh dikuatkuasakan.[4]
Haram di sini bermaksud kontrak yang tidak sah.
Selain daripada itu, terdapat juga risiko-risiko yang bakal ditanggung oleh “si penyambung bayar” atau si pemilik asal kereta jika mereka terlibat dengan “kaedah sambung bayar”.
Antaranya adalah penjual tidak boleh membuat laporan polis ataupun apa-apa tuntutan sekiranya berlaku permasalahan.
Hal ini demikian kerana pemilik asal kenderaan telah menyerahkan kenderaan kepada pihak ketiga secara sukarela.
Isu lain yang seringkali terjadi di dalam situasi ini adalah apabila ianya melibatkan kenderaan klon.
Kenderaan klon ini adalah di mana sesuatu kenderaan itu mungkin telah diubahsuai dengan chasis pendaftaran palsu dan nombor plat palsu, serta cukai jalan atau road tax yang palsu.
Kenderaan yang tidak didaftarkan boleh disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebelum dilelong oleh mahkamah.
Pemilik kereta juga berkemungkinan untuk didakwa di bawah Seksyen 7 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memiliki kereta yang tidak didaftarkan, dan boleh didenda di antara RM 2,000 ke RM 10,000[5].
Kesimpulannya, walaupun kaedah sambung bayar ini dianggap menguntungkan bagi sesetengah pihak, perlu diingatkan bahawa risiko yang bakal ditanggung adalah terlalu besar.
Selain itu, kaedah sambung bayar ini juga boleh menyebabkan diri si pembeli mahupun si penjual dibeban dengan pelbagai isu yang berat, termasuklah denda yang dikenakan di bawah Akta Sewa Beli 1967.
Oleh itu, rakyat Malaysia digalakkan untuk tidak hanya boleh mengambil kira kepentingan tetapi juga perlu berfikiran ke hadapan kerana masalah dan kos yang bakal dihadapi adalah risiko yang tidak wajar dan boleh dielakkan.
[1] FMT Reporters. (2020). Ketahui risiko sebelum beli kenderaan sambung bayar. Retrieved from https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/07/18/ketahui-risiko-sebelum-beli-kenderaan- sambung-bayar/
[2] Seksyen 38 Akta Sewa Beli 1967
[3] Seksyen 46 Akta Sewa Beli 1967
[4] Seksyen 24 Akta Kontrak 1950
[5] Seksyen 7 Akta Pengangkutan Jalan 1987
Note: This article does not constitute legal advice to any specific case. The facts and circumstances of each case will differ and, therefore, will require specific legal advice. Feel free to contact us for complimentary legal consultation.
Comments