Seiring dengan pembangunan teknologi yang semakin pesat, bidang perubatan seluruh dunia juga mendapat manfaat apabila terdapat kaedah-kaedah saintifik yang membuka peluang kepada pasangan-pasangan untuk melahirkan anak seperti yang diidamkan.
Salah satu bentuk teknologi bantuan reproduktif yang digunakan ialah Preimplantation Genetic Diagnosis (PGD) atau Pra-Implantasi Diagnosis Genetik, merupakan suatu teknologi yang membolehkan embrio disaring untuk mengesan sebarang kerosakan genetik atau kebarangkalian ciri penyakit genetik pada embrio sebelum proses implantasi.
Selain itu, PGD merupakan satu teknik yang digunakan untuk memilih jantina bayi.
PGD juga merupakan ujian genetik yang dijalankan ke atas gen dan kromosom embrio yang dihasilkan melalui teknik persenyawaan in vitro (IVF).
Pada awalnya, PGD telah diperkenalkan oleh Edwards and Gardner apabila mereka berjaya menjalankann biopsi embrio yang pertama ke atas seekor arnab pada tahun 1968.
Amerika Syarikat merupakan negara yang mengembangkan kemajuan teknik ini ke atas manusia pada pertengahan tahun 1980-an.
Pada ketika itu, PGD merupakan alternatif kepada diagnosis pra-natal dan digunakan untuk menentukan jantina seorang bayi secara tidak langsung menjadi alternatif bagi pasangan untuk mengelakkan bayi mereka daripada mengalami penyakit-penyakit genetik yang dibawa oleh kromosom X.
Di Malaysia, teknik berteknologi ini masih belum diperkenalkan secara meluas di hospital-hospital kerajaan tetapi telah ditawarkan di beberapa pusat perubatan swasta seperti TMC Fertility Centre Kuala Lumpur, Alpha Fertility Centre Petaling Jaya, IVF Bridge Fertility Centre Johor Bahru dan lain-lain (HealthCare Asia Daily, 2014).
Kos bagi menjalankan IVF di pusat perubatan swasta adalah tertakhluk kepada jenis prosedur yang akan dijalankan bermula daripada RM10,000 hingga RM18,000.
Prosedur PGD pula kebiasaannya memerlukan kos yang lebih tinggi iaitu dua kali ganda lebih tinggi berbanding prosedur IVF.
Fasa perkembangan teknologi PGD yang perlahan di dalam negara berpunca daripada beberapa factor, antaranya bayaran prosedur yang mahal, pengetahuan orang awam yang terhad tentang kewujudan teknik ini serta pegangan kuat terhadap alternatif lain seperti agama, tradisi atau petua nenek moyang yang lebih cenderung menggunakan teknik-teknik tradisional di mana ianya masih diamalkan oleh kebanyakkan pasangan di Malaysia.
Terdapat tiga fungsi utama PGD iaitu yang pertama, sebagai alternatif untuk mengelakkan bayi daripada mewarisi penyakit-penyakit genetik.
Kedua, PGD dapat membantu dalam mengenal pasti embrio yang mempunyai tisu paling sesuai untuk pemindahan sum-sum tulang atau sel darah pusat bagi adik-beradik yang memerlukan.
Fungsi ketiga yang menarik perhatian penulis iaitu, jantina bayi juga boleh ditentukan melalui teknik PGD ini.
Pada era globalisasi kini, perkara yang dulunya dianggap suatu mitos atau mustahil, kini dapat dilakukan dengan sejumlah wang.
Melalui perkembangan teknologi dan sains, orang awam kini mampu untuk memilih jantina bagi bayi mereka sebelum melahirkan.
Malah bukan sahaja jantina dapat ditentukan sebelum kelahiran, ciri-ciri fizikal bayi juga direka dan diubah mengikut kehendak tersendiri.
Perkara ini boleh dilakukan dengan menjalankan teknik PGD melalui IVF di mana sel-sel dalam embrio akan diubahsuai mengikut prosedur sains perubatan yang telah ditetapkan.
Pemilihan jantina bayi melalui teknik PGD telah mendapat pelbagai reaksi dan pandangan umum tentang kesan daripada segi sosial, moral dan undang-undang. Pelbagai kontroversi juga timbul sejak permulaan teknik pemilihan jantina bayi diperkenalkan.
Ada yang menyokong dan ada yang mengkritik.
Pemilihan jantina melalui teknik PGD telah diharamkan di lima buah negara seperti di New Zealand, Switzerland, Austria, South Korea dan Vietnam.
Kebanyakan negara membenarkan pemilihan jantina bayi hanya kepada keperluan perubatan sahaja.
Manakala di Malaysia pula, sehingga kini terdapat satu garis panduan umum tentang penggunaan teknologi PGD berkenaan pemilihan jantina embrio yang dikeluarkan oleh Majlis Perubatan Malaysia di bawah dua panduan yang dinyatakan di bawah seksyen 9 dan seksyen 15.
Seksyen 9 melarang pemilihan jantina embrio bagi tujuan sosial atau peribadi tetapi dibolehkan bagi keadaan memerlukan jika terdapat masalah genetik yang serius.
Seksyen 15 pula menyatakan PGD bagi tujuan ‘mereka bayi’ seperti mengubah ciri-ciri fizikal, sosial atau gender dan bukan untuk tujuan perubatan adalah tidak diterima.
Selain panduan yang dikeluarkan Majlis Perubatan Malaysia, terdapat statut-statut yang mengawal bidang perubatan di Malaysia, iaitu Akta Perubatan 1971 dan Akta Tisu Manusia 1974.
Pada tahun 2006, Kerajaan Malaysia sedang dalam usaha menggubal undang-undang baru untuk menolak PGD pemilihan jantina embrio bagi tujuan selain perubatan.
Perkara tersebut masih belum diselesaikan sehingga hari ini.
Pelbagai pendapat berkenaan teknik pemilihan jantina embrio melalui PGD di Malaysia.
Kebanyakan pihak menolak teknik ini atas alasan akan meninggalkan kesan yang negatif terhadap moral, sosial dan undang-undang di negara ini.
Menurut Datuk Dr Chua Soi Lek, Menteri Kesihatan pada tahun 2006, pemilihan jantina embrio boleh menyebabkan ketidakseimbangan sosial berlaku apabila masyarakat lebih cenderung untuk memiliki anak lelaki berbanding perempuan atas sebab-sebab sosial seperti yang berlaku di China dan India.
Walaubagaimanapun, di China dan India, teknik PGD pemilihan embrio dapat membawa impak positif dalam kehidupan masyarakat secara keseluruhan serta individu.
Contohnya, teknik ini dapat memberi peluang kepada pasangan untuk membuat perancangan kekeluargaan yang lebih sistematik.
Sesetengah pihak berpendapat PGD pemilihan jantina embrio ini dapat membantu pasangan untuk memiliki bilangan anak yang seimbang.
Jika pasangan yang sudah menimang cahaya mata lelaki pada kehamilan yang pertama, mereka semestinya menginginkan anak perempuan bagi kehamilan yang seterusnya.
Hal ini membolehkan pasangan tersebut mempunyai keluarga yang seimbang dengan menjalani teknik PGD dan menentukan sendiri jantina anak mereka untuk kehamilan yang kedua.
Situasi seperti di China dapat dielakkan di mana kebanyakkan kanak-kanak perempuan menjadi mangsa diskriminasi jantina di negara tersebut.
Keputusan untuk menggugurkan kandungan dapat dielak jika pasangan mempunyai pilihan untuk mengubah jantina anak mereka seperti yang mereka mahukan.
Secara ironinya, teknik ini dikatakan dapat membantu mengimbangkan semula populasi jantina lelaki dan perempuan dalam masyarakat di suatu tempat tersebut.
Situasi di Malaysia adalah sangat berbeza daripada China mahupun India.
Tradisi masyarakat dalam setiap kaum di Malaysia kebanyakannya tidak cenderung untuk memilih jantina anak yang spesifik seperti yang berlaku di China dan India.
Secara umumnya, masyarakat Melayu sangat mementingkan kepercayaan agama Islam dalam kehidupan seharian dan dianggap tidak cenderung untuk memilih jantina anak bagi sebab sosial tetapi lebih kepada masalah kesihatan kerana kos prosedur PGD pemilihan jantina di negara ini adalah tinggi.
Walaubagaimanapun, bukan perkara mustahil jika ada pasangan yang mampu dari segi kewangan untuk menjalankan prosedur PGD pemilihan embrio mengikuti keinginan mereka.
Sehingga kini, negara kita masih tidak mempunyai undang-undang yang mengawal teknik PGD bagi pemilihan jantina embrio.
Hal ini menimbulkan pelbagai persoalan tentang kedudukan undang-undang negara tentang status dan pendirian Malaysia tentang pelaksanaan prosedur PGD yang dijalankan atas faktor-faktor sosial selain dari faktor kesihatan yang serius.
Bagi menggubal undang-undang berkenaan perkara ini, kerajaan harus meneliti dan mengkaji terlebih dahulu kesan positif dan negatif PGD pemilihan jantina embrio ini terhadap masyarakat secara keseluruhan dan individu.
Note: This article does not constitute legal advice to any specific case. The facts and circumstances of each case will differ and, therefore, will require specific legal advice. Feel free to contact us for complimentary legal consultation.
Commentaires