Jawatankuasa Kecil Syariah, Jawatankuasa Peguam Pulau Pinang telah menganjurkan sebuah program webinar bertajuk Perintah/Penghakiman: Tugasan Anda Sudah Selesai melalui Zoom pada 29 Julai 2021. Jawatankuasa ini telah menjemput seorang peguam syarie yang berpengalaman iaitu Tuan Mawardi Bin Che Man sebagai ahli panel dan peguam syarie EzriLaw Firm sendiri, Puan Azwa Afifah sebagai moderator sesi tersebut.
Program webinar ini dibahagikan kepada dua sesi. Sesi pertama banyak menumpukan tentang definisi perintah atau penghakiman serta menyatakan beberapa tindakan yang seorang peguam syarie perlu laksanakan setelah suatu perintah atau penghakiman itu dikeluarkan.
Untuk sesi kedua, ahli panel kita telah menekankan aspek pelaksanaan perintah atau penghakiman tersebut. Ada beberapa jenis pelaksanaan yang wujud, antaranya penghakiman yang mengkehendaki perbuatan dilakukan dan sekiranya tidak dinyatakan masa, perbuatan itu hendaklah dibuat dalam masa tujuh (7) hari. Hal ini diperuntukkan di bawah seksyen 135 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor. Seksyen 152 juga memperuntukkan bahawa Mahkamah boleh membuat perintah yang mengkehendaki perbuatan itu dilakukan dalam apa-apa masa yang dinyatakan dalam perintah itu. Bagi penguatkuasaan penghakiman, seksyen 148, seksyen 149, seksyen 150 dan seksyen 151 Enakmen Tatacara Mal adalah terpakai.
Secara kesimpulannya, program ini telah memberikan penerangan secara menyeluruh berkenaan pelaksanaan perintah atau penghakiman di Mahkamah Syariah, namun masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperdalami sebagai seorang peguam syarie lebih-lebih lagi peguam muda supaya akan lebih mahir akan proses pelaksanaan tersebut.
Comments