top of page

Firma Guaman Atas Awan : Bahagian 3 - Ke Garisan, Sedia, Mula!


Setelah memahami konsep, keperluan, dan komponen yang terlibat bagi implementasi teknologi awan pada firma guaman anda, langkah seterusnya adalah BERTINDAK!

Dengan matlamat di landasan yang jelas, semuanya terserah pada anda sama ada ingin memecut atau tidak.


Dengan pelan transformasi ke arah implementasi teknologi awan yang dirangka beserta kolaborasi bersama pakar atau pihak ketiga yang berkaitan, infrastruktur harus segera disediakan. Pastikan staf dibekalkan dengan keperluan asas yang membolehkan mereka bekerja secara atas talian dengan lancar.


Pertamanya adalah rangkaian internet. Bagi memastikan capaian internet pantas diperoleh secara konsisten, setiap staf wajar mempunyai perkhidmatan jalur lebar berkabel seperti yang disediakan oleh TM Unifi atau TIME Broadband (bagi kebanyakkan kondominium dan pangsapuri). Hal ini bagi mengelak gangguan disebabkan oleh keadaan cuaca atau kehilangan/kelemahan penerimaan gelombang internet di tempat tinggi sekiranya menggunakan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar (4G & 5G) menerusi telekomunikasi seperti Celcom, Maxis, DiGi, dan lain-lain.


Keduanya adalah infra serta perisian bagi aktiviti produktiviti dan komunikasi. Staf harus dibekalkan dengan komputer riba dengan keluasan skrin sekitar 14 ke 15 inci. Berikut adalah cadangan spesifikasi keperluan asas komputer riba untuk kegunaan staf bagi implementasi teknologi awan dan kesediaan bekerja dari rumah:


KOMPUTER RIBA


- Skrin: 14 ke 15 inci

- Storan: 128 SSD

- RAM: 4GB ke 8GB

- Chip Pemprosesan: Intel Core i5 / i3

- Built-In HD Webcam

- Built-In Wifi Receiver

- Bluetooth

- Microsoft Window 10 Home / Pro

- Perisian Antivirus

- Perisian Produktiviti: Microsoft Office 365, Adobe Acrobat Reader, Google Chrome


PERKAKASAN KEPERLUAN TAMBAHAN

- Set Headphone berserta mikrofon

- Skrin pendua (Monitor 23 inci)

- UPS (Uninterruptible Power Supply) dengan kefungsian AVR (Automatic Voltage Regulator)

- Mesin Pengimbas, Pencetak, & Fotokopi (All In One) dengan kelajuan LaserJet serta kefungsian imbasan pukal


Seterusnya adalah ruang kerja yang kondusif bagi memastikan keselesaan aktiviti operasi bekerja secara atas talian. Setiap staf harus mempunyai ruang kerja khas di rumah dengan penyediaan meja dan kerusi yang sesuai. Adalah dinasihatkan supaya ruang kerja khas tersebut terasing dari ruang makan atau ruang tamu agar fokus dapat diberikan sewaktu operasi kerja dilaksanakan.


Yang keempat adalah disiplin kendiri dan sistem sokongan bagi memastikan gerak kerja dapat dilaksanakan dengan sistematik. Adalah amat penting bagi setiap staf untuk mempraktikan disiplin kendiri dengan memastikan perlaksanaan kerja dan komunikasi bersama rakan sekerja dan penyelia berjalan seperti biasa. Malah, produktiviti operasi kerja mungkin dapat ditingkatkan dengan fleksibiliti dan kawalan kendiri yang diamalkan oleh setiap staf. Walau mempunyai fleksibiliti operasi yang disokong oleh implementasi teknologi awan, setiap staf wajar memastikan mereka mempunyai sistem sokongan diri yang dapat mengimbangi peranan mereka sebagai seorang staf dan juga ahli keluarga. (Suami, Isteri, & Anak)


Kelima dan terakhir bagi keperluan asas yang harus ada bagi membolehkan staf memulakan operasi secara atas talian adalah polisi firma guaman itu sendiri. Dengan gerak kerja baru dan implementasi teknologi awan yang akan mengubah landskap operasi sesebuah firma guaman itu, polisi dan dasar melibatkan operasi bekerja harus digubal seiring dengan norma baru ini. Polisi kehadiran, komunikasi kerja, perjumpaan bersama pelanggan, serta dasar keselamatan melibatkan diri serta data sesebuah firma guaman itu wajar dicorak secara realistik dan terperinci. Polisi dan dasar ini juga akan bersifat fleksibel dengan mengambil kira kondisi politik, ekonomi, kesihatan, dan dasar semasa kerajaan.


Kesimpulannya, lima komponen ini adalah keperluan asas yang harus diberi perhatian sewaktu proses implementasi teknologi awan dimulakan. Seterusnya dalam artikel akan datang, saya akan menyentuh berkenaan kaedah dan instrumen yang boleh digunakan oleh setiap firma guaman dalam mengendalikan operasi secara maya.


Firma Guaman Atas Awan: Bahagian 4 - Mengejar Masa Depan

54 views0 comments

Comments


bottom of page