top of page

Firma Guaman Atas Awan : Bahagian 4 - Mengejar Masa Depan

Writer's picture: Haadii Rahman Bin SafianHaadii Rahman Bin Safian

Apa perlu buat? Mengapa perlu berubah? Mengapa perlu terkejar-kejar? Apa yang dikejar atau apa yang mengejar? Ini adalah persoalan lazim yang timbul di kalangan pemilik atau rakan kongsi firma guaman di Malaysia apabila ditanya “Sudahkah anda menuju ke arah Revolusi Industri 4.0?”


Antara faktor utama yang mendorong kepada keperluan proses digitalisasi serta pengkomputeran awan dalam operasi firma guaman adalah pertukaran generasi itu sendiri. Generasi baru (Gen-Z) umumnya merupakan pengguna yang mengaplikasikan kemudahan teknologi dalam kehidupan mereka secara efektif daripada segi komunikasi, pembelajaran, dan pengurusan aktiviti. Semestinya apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan, bakal-bakal peguam dan professional ini akan berasa lebih selesa dan cekap malah akan bergantung kepada teknologi dalam kerjaya mereka. Disiplin pengurusan serta tatacara lama dengan suntikan inovatif teknologi serta pengkomputeran awan akan memudahkan mereka segera menyesuaikan diri dengan operasi sesebuah firma guaman.


Selain daripada mempercepatkan produktiviti di samping mengurustadbir operasi serta risiko dengan lebih sistematik, implementasi teknologi juga membolehkan servis atau praktis yang ditawarkan oleh sesebuah firma guaman itu membolosi pasaran global. Tidak hanya bergantung kepada pasaran dan tenaga kerja lokal, firma guaman di masa hadapan kelak akan beroperasi di atas talian dengan perwakilan kakitangan yang mungkin berada di mana-mana tempat di seluruh dunia.


Semakin hari semakin banyak faktor luar kawal yang tidak dijangka menghantui operasi firma guaman. Tidak hanya terkesan dengan pandemik, kebergantungan pada pasaran lokal juga akan meletakkan prestasi dan operasi sesebuah firma guaman itu menjadi tidak menentu. Justeru, keberadaan servis firma guaman di masa hadapan harus menjangkaui sempadan negeri dan global dan ini hanya boleh direalisasikan dengan operasi berorientasikan teknologi awan.


Jadi, sudahkah firma guaman anda mengorak langkah bagi mengejar masa depan? Jika belum, sila mulakan. Jika sudah, maka pecutlah.


Pastikan anda terus mengejar agar kelak tidak terkejar.


Seterusnya:

Firma Guaman Atas Awan : Bahagian 5 - Skor A

58 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page